3/19/2011

Simpanan Awal Jadi Kunci Masa Depan

Oleh MUZIR KASSIM

Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna, OCBC Al-Amin Bank Berhad

Sekadar gambar hiasan

KES: Saya (Arianna Dya) berusia 24 tahun dan baru bekerja dengan pendapatan bersih sebanyak RM2,500 sebulan tanpa sebarang komitmen hutang. Dengan gaji sebanyak itu, saya membelanjakan sebahagian besar wang gaji untuk membeli pakaian, makan di luar dan berhibur. Bagaimanakah dengan pendapatan sebanyak itu saya masih boleh membuat simpanan untuk masa depan tetapi pada masa sama masih boleh meneruskan gaya hidup semasa?

Jawapan

Saya akui individu yang berusia 20an mempunyai bajet yang cukup ketat dan sukar untuk memiliki lebihan pendapatan. Katakanlah siapa dalam lingkungan usia ini tidak suka membelanjakan wang untuk fesyen, hiburan dan gajet terkini? Kebanyakan tidak mempunyai simpanan atau perancangan kewangan kerana ia dianggap ketinggalan dengan tanggapan amalan itu hanya untuk golongan dewasa. Bagi golongan yang berusia 20an, aset yang paling penting bukan wang sebaliknya adalah masa. Tetapi tahukah anda setiap ringgit yang disimpan dalam usia 20an bernilai 10 kali ganda berbanding jika disimpan pada umur 40 tahun. Lantaran itu, usia 20an dan 30an sebenarnya adalah masa terbaik untuk menyimpan bagi masa depan, sama ada bagi diri sendiri atau pendidikan anak-anak atau ketika persaraan. Hakikatnya, mereka yang mula membuat simpanan untuk persaraan ketika berumur 20an akan mendapat banyak kelebihan meskipun dalam jumlah yang sedikit, selagi mereka membuat pelaburan berkala.

Contohnya: Individu yang menyimpan sebanyak RM4,000 setahun untuk persaraan sejak berumur 22 tahun akan memiliki RM1 juta pada usia 62 tahun, dengan mengambil kira purata pulangan sebanyak lapan peratus setahun. Sekiranya anda tidak pernah membuat simpanan dalam masa 10 tahun, anda perlu menyimpan sekali ganda kira-kira RM8,800 setahun, untuk memastikan mendapat jumlah yang sama semasa bersara nanti.

Malangnya, tidak ramai pekerja muda melepaskan peluang untuk membuat simpanan bagi persediaan persaraan awal dengan harapan faedah mampu memberi magis dan memaksimumkan simpanan. Dalam perkara ini sukar untuk menyalahkan sesiapa. Umpamanya dalam kes Arianna, beliau mempunyai minat untuk mengetahui bagaimana yang perlu dilakukan untuk simpanan jangka panjang. Kebanyakan golongan muda seperti beliau yang mendapati sukar merancang kewangan tanpa panduan mengenai wang dan cara menguruskannya. Kecuali terdapat kelas mandatori di peringkat sekolah menengah dan universiti untuk menyediakan pelajar mengenai kewangan peribadi! Di bawah ini adalah disertakan beberapa panduan bagi Arianna dan golongan yang berusia 20an untuk merancang kewangan.

1. Menyimpan selalu, kerap menyimpan.

Tahukah anda ada satu konsep lama yang perlu diketahui mengenai simpanan iaitu membayar kepada diri sendiri terlebih dahulu. Kerajaan amat memahami mengenai konsep tersebut, sebab itu kerajaan akan memotong pelbagai cukai sebelum pendapatan diserahkan kepada anda. Konsep ini boleh digunakan dalam bentuk simpanan bagi untuk manfaat diri sendiri. Tidak dinafikan kebanyakan orang akan berbelanja dahulu pendapatan, kemudian lebihan digunakan untuk simpanan. Tetapi pada realitinya, selalunya kita akan berbelanja sebanyak mungkin berbanding menyimpannya. Seharusnya kita perlu 'membayar kepada diri sendiri' - menyimpan peratusan tertentu untuk simpanan sebelum menggunakan wang anda untuk tujuan lain. Percayalah sekiranya konsep 'membayar untuk diri sendiri' dijadikan amalan, anda tidak akan terlupa untuk menyimpan.

Selain itu, menyimpan wang dalam akaun berbeza juga merupakan idea yang baik kerana ia mengekang untuk kita berbelanja lebih. Sebenarnya tiada satu masa yang boleh dianggap terbaik untuk membuat simpanan, jadi belajar untuk 'membayar kepada diri sendiri'.

2. Berbelanja mengikut kemampuan.

Adakah anda akan menerima gaji untuk kali pertama? Terasa sudah berkemampuan untuk membeli? Kebanyakan golongan muda berbelanja lebih daripada pendapatan. Mereka mahu menggunakan wang untuk membeli kereta, pakaian, makan di luar dan terperangkap dalam kehendak kehidupan. Memenuhi kehendak dalam perbelanjaan akan memberi tekanan kepada kewangan anda. Anda perlu belajar untuk membezakan keperluan daripada kehendak anda. Contohnya pinjaman rumah, bil elektrik dan makanan. Adakah anda perlu menikmati kopi berharga RM15 secawan, telefon baru serta membuat rawatan kuku? Bukan anda mampu menjalani kehidupan tanpa semua itu? Sebenarnya, Sarah, tidak ada penyelesaian mudah bagi menyeimbangkan jaminan kewangan masa depan dan menikmati gaya hidup semasa.

Beberapa disiplin fiskal mungkin diperlukan dan anda akan mendapati ia berbaloi untuk masa depan. Sekiranya anda menyukai sesuatu, paksa diri anda untuk menangguh memilikinya dalam masa dua minggu sebelum terus membelinya. Ini kerana selepas tempoh itu anda akan mendapati anda sebenarnya tidak memerlukannya. Cara lain ialah membelinya secara tunai supaya dapat merasai berbelanja sebenar.

3. Elak daripada terjerumus dalam hutang.

Anda perlu mengelakkan diri daripada membuat hutang yang tinggi. Ia sama seperti meletakkan perbelanjaan sebagai keutamaan, kuasa berbelanja boleh meningkatkan hutang. Oleh itu, membayar kad kredit perlu diletakkan sebagai keutamaan. Syabas kepada Arianna kerana ia tidak memiliki kad kredit. Sekiranya anda mempunyai hutang kredit kad yang tertangguh, elak membuat bayaran minimum. Ia kerana jika anda terikat dengan amalan itu, anda sebenarnya akan menanggung hutang dalam jangka panjang. Mempunyai hutang yang banyak pada usia muda merupakan satu kesilapan besar bagi golongan berumur 20an. Jangan kerana anda layak untuk mendapat pinjaman yang besar, bermakna anda menggunakan seluruh kapasiti untuk membuat hutang. Perlu diingatkan sekiranya anda tersalah membuat keputusan - anda akan menghabiskan usia muda anda dengan membayar hutang. Dalam usia 20an anda perlu mempunyai sejarah kredit yang baik untuk digunakan pada masa depan.

Selain itu, saya turut menasihatkan golongan muda supaya menghindarkan diri daripada terjebak sebagai penjamin. Anda hanya boleh lakukan sekiranya cukup bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan buruk akan berlaku. Kalau tidak bersedia, jangan sesekali melakukannya!. Yang penting hindarkan diri daripada menjadi 'perangkap wang' yang kerapkali menjadikan golongan muda sebagai mangsa. Sebaliknya dalam usia 20an, anda memiliki banyak peluang untuk menyimpan kerana belum mempunyai tanggungjawab besar dalam kewangan, berbanding ketika usia 30an dan 40an. Ini kerana, pada usia itu anda perlu membayar rumah dan menyimpan untuk pendidikan anak-anak. Dengan memiliki asas simpanan kukuh yang dibuat pada usia 20an, anda akan melalui kehidupan dengan penuh keyakinan.

Sumber Info : Utusan Online

No comments:

Post a Comment

Kalkulator Pinjaman Rumah

Kalkulator Pinjaman

Semak kadar pinjaman dan kelayakan anda secara online. Masukkan data-data jumlah pinjaman, kadar bank dan kira untuk melihat kebarangkalian bayaran bulanan pada bank

Kundasang War Memorial

Desa Dairy Farm Kundasang

Lok Kawi Wildlife Park

Rumah Terbalik di Jalan Tamparuli

Poring Hot Spring Ranau

Taman Pertanian Tenom