12/24/2013

BLR Bakal Naik: BNM Rumus Ukuran Baharu Bagi BLR Tahun Depan

interst-image

Sekadar gambar hiasan

Bank Negara Malaysia (BNM) akan merumuskan satu rangka kerja bagi pengukuran Kadar Pinjaman Asas (BLR) tahun depan untuk memperkasakan lagi sistem kewangan negara.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata bank pusat itu akan mengeluarkan satu kertas perundingan yang menggariskan rangka kerja kadar rujukan baharu kepada industri awal Januari tahun depan, kerana ia perlu melaraskan dan bergerak ke arah kebaikan ekonomi selanjutnya.

“Kebelakangan ini, terdapat tanda-tanda bahawa BLR, sebagai satu kadar rujukan, telah menjadi kurang relevan.

“Justeru itu ia menjadi kurang bermakna sebagai asas bagi penetapan harga pinjaman. Kadar pinjaman runcit ke atas pinjaman-pinjaman baharu yang ditawarkan oleh industri berada pada diskaun yang besar berbanding BLR,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Sekolah Perbankan Asia di sini Rabu.

Zeti berkata BLR adalah unsur penting dalam proses pengantaraan kewangan dan perlu ditambah baik dari segi kecekapan, agar industri perbankan terus menepati matlamat mutakhir kewujudannya.
“Selama dua tahun kebelakangan ini, kadar pinjaman purata jauh lebih rendah daripada BLR. Ini kerana komponen BLR bukan sahaja mencerminkan kos pembiayaan, malah juga kos-kos lain seperti overhead.

“Rangka kerja baharu ini akan lebih berhubung kait dengan kos pembiayaan, terutamanya kos pembiayaan marginal, yang merupakan cara bank-bank menetapkan harga pinjaman masing-masing dan itulah sebabnya kadar pinjaman kurang daripada BLR yang sepatutnya merupakan kadar terbaik yang ditawarkan,” katanya.

Ditanya sebab BLR sebagai rujukan telah menjadi kurang relevan, Zeti berkata bank memasukkan semua kos lain di dalamnya, sedangkan kadar yang digunakan sebenarnya adalah kos pembiayaan marginal, yang bererti kos dana yang digunakan bagi pinjaman.

“Dalam persekitaran kadar faedah yang agak rendah sekarang, kos pembiayaan kurang daripada BLR. Justeru itu, BLR tidak digunakan sebagai kadar rujukan dan kita perlu menyemaknya, memandangkan ia kini kurang relevan,” tegas beliau.

Tentang kemungkinan kadar pinjaman berkesan bagi peminjam runcit dinaikkan ekoran rangka kerja baharu itu, Zeti berkata ia tiada kena mengena dengan paras kadar faedah.

“Cuma kita tidak mahu ada rangka kerja yang tidak relevan kerana ia harus mencerminkan kos dana dan menjadi asas bagi penetapan harga pinjaman kadar apung,” katanya.

Sementara itu, tentang inflasi, Zeti berkata bank pusat itu akan membuat penilaian ke atas kadar inflasi bagi tahun depan, disebabkan oleh kemungkinan berlaku kenaikan harga-harga lain.

“Dengan penilaian ini, ia juga akan memberi sebab kenapa harga telah meningkat. Kita perlu lakukan penilaian yang amat sukar.

“Seperti saya pernah kata sebelum ini, beberapa kenaikan harga mempunyai hubung kait dengan harga makanan. Tindakan amat perlu diambil untuk menambah baik pengeluaran dan pengagihan makanan,” tegas Zeti.

Beliau berkata perniagaan perlu benar-benar meningkatkan kecekapan untuk mengurangkan kos dan memastikan peningkatan input tidak dipindahkan kepada pengguna akhir dan pelanggan.

“Pelanggan dan pengguna juga perlu berjimat dan mengelakkan penggunaan tenaga dengan berlebihan.

“Jadi, kita juga perlu mengubah perilaku kita seiringan kenaikan harga minyak dan bahan api antarabangsa. Kita tidak boleh mengekalkan pemberian subsidi harga. Jadi, negara perlu menghadapi keadaan-keadaan ini, kata Zeti.

– BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Kalkulator Pinjaman Rumah

Kalkulator Pinjaman

Semak kadar pinjaman dan kelayakan anda secara online. Masukkan data-data jumlah pinjaman, kadar bank dan kira untuk melihat kebarangkalian bayaran bulanan pada bank

Kundasang War Memorial

Desa Dairy Farm Kundasang

Lok Kawi Wildlife Park

Rumah Terbalik di Jalan Tamparuli

Poring Hot Spring Ranau

Taman Pertanian Tenom