8/13/2013

Harga Rumah Terus Melambung

 Sekadar gambar hiasan

Peraturan pembiayaan berkhemah dan pengurangan tempoh pembiayaan hartanah tidak akan mengurangkan harga rumah tetapi hanya mengurangkan kadar pertumbuhan tahunannya.

Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Siva Shanker berkata, harga hartanah tidak mungkin akan turun kerana permintaannya sangat tinggi terutamanya bagi rumah mampu milik.

"Peraturan baharu oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat berkesan mengurangkan kadar pertumbuhan sebagai contoh pada 2010, nilai hartanah melonjak hingga 35 peratus tetapi berjaya dikawal kepada sekitar 12 peratus tahun lalu.

"Kadar lonjakan nilai hartanah dapat diperlahankan tetapi kenaikan tetap berlaku setiap tahun," katanya, baru-baru ini.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan MIEA, hartanah yang dijual semula biasanya akan lebih tinggi daripada harga asal ketika dibeli.

"Untuk mengharapkan harga hartanah jatuh tidak mungkin berlaku ketika ini disebabkan permintaan.

"Di Malaysia, jika permintaan kurang, pemaju hartanah akan mengurangkan bekalan dan mereka tidak terjejas dengan melakukannya. Sebab itu harganya tidak akan turun," jelasnya.

Rekod MIEA menunjukkan transaksi hartanah jenis rumah di Lembah Klang mencatatkan peningkatan sejak 2010 daripada RM30.65 bilion kepada RM37.5 bilion pada 2012.

Permintaan tinggi adalah daripada rumah jenis teres dan peningkatan yang cukup tinggi direkodkan pada jenis pangsapuri.

Ditanya mengenai golongan muda yang semakin terhimpit untuk memiliki rumah, Siva berkata, peranan kerajaan untuk situasi ini sangat penting seperti yang dilakukan di Australia yang mana pembeli pertama diberikan subsidi antara AU$5,000 hingga AU$7,000 untuk rumah pertama.


Menurutnya, di Malaysia projek Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) merupakan cara terbaik tetapi yang menjadi persoalannya adalah perlaksanaan.

"Apa yang saya maksudkan adalah, dominasi pihak tertentu yang membeli rumah berkenaan dalam jumlah yang banyak menerusi proksi mereka dan fenomena ini telah berlaku.

"Akhirnya kerajaan akan menanggung beban masalah ini," ujarnya.

Sumber : Utusan Melayu

Sukar Miliki Rumah


 Sekadar gambar hiasan

Oleh FAIRUS KASSIM
Dalam keadaan isu rumah yang terlampau mahal dan tidak mampu dimiliki dan masih belum terpancar sinar penyelesaiannya, satu kejutan telah dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan tempoh pembiayaan aset keperluan asas rakyat berkenaan. 

Persoalannya di sini, belum pun selesai bebanan yang dipikul ketika ini, datang pula bebanan baharu yang menekan golongan muda yang sedang merangkak-rangkak untuk cuba membina kehidupan yang lebih baik.

Baru-baru ini, BNM telah menetapkan tempoh maksimum pinjaman maksimum dihadkan selama 10 tahun, manakala pinjaman pembelian rumah dihadkan selama 35 tahun daripada 45 tahun sebelum ini. Pengurangan sebanyak 10 tahun untuk pembiayaan hartanah.

Teorinya sangat mudah, semakin rendah tempoh pembiayaan semakin tinggi ansuran bulanan yang perlu ditanggung pembeli.

Pada 1 Januari 2012, BNM telah pun melaksanakan undang-undang kawalan pembiayaan dengan menetapkan nilai pembiayaan mesti berdasarkan gaji bersih berbanding gaji kasar sebelum ini.
Dasar baharu berkenaan telah pun mengecilkan kemampuan golongan muda untuk memiliki sebuah rumah, kini tempoh pembiayaan pula dikurangkan sekali gus seperti hampir menutup ruang sepenuhnya kepada golongan ini.

Tidakkah mereka sedar bahawa tempoh pembiayaan dilanjutkan bukan kerana suka-suka tetapi untuk memastikan pembeli mampu membeli rumah dengan ansuran yang mampu ditanggung setiap bulan. Memang benar, semakin lama tempoh pinjaman semakin tinggi faedah yang ditanggung pengguna tetapi itu sahaja cara yang ada untuk golongan muda memiliki rumah yang semakin hari semakin mahal seolah-oleh tiada siapa mampu mengawal kenaikannya.

Kenapa tidak diganggu harga rumah ini? Kenapa mesti diganggu tempoh pembiayaan hartanah? Kenapa setiap undang-undang baharu hanya menjurus kepada golongan pembeli dan bukannya penjual?

Golongan muda juga mempunyai banyak tanggungan lain seperti kereta, kos sara hidup, keluarga, hutang pelajaran dan dengan gaji di bawah RM3,000 sebulan sudah pasti ramai antara mereka tidak mampu memenuhi kriteria pembiayaan berkhemah BNM.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd Fauzi Mohd. Jani berkata, langkah itu akan menyebabkan golongan muda tewas kepada golongan pertengahan usia dari segi kuasa beli.

Katanya, ketika ini, terdapat dua kelompok pembeli iaitu golongan umur pertengahan antara 40 hingga 55 tahun dengan kewangan kukuh dan golongan muda yang berumur di antara 25 hingga 35.

"Kesan jangka panjang yang akan dihadapi apabila peralihan umur berlaku di mana golongan muda beralih ke golongan pertengahan umur, dan ketika itu mereka terpaksa membeli rumah pada harga berlipat kali ganda dari golongan sebelumnya.

"Fenomena ini akan mengakibatkan peluang untuk memiliki rumah semakin tipis disebabkan kenaikan harga rumah tidak setara dengan kemampuan," katanya sambil menegaskan dasar pengurangan tempoh pembiayaan berkenaan perlu dikaji semula.

Hartanah adalah aset bernilai tinggi dan nilainya sentiasa meningkat dan jika pembeli tidak mampu membayar ansuran, risiko kerugian kepada bank sangat kecil berbanding hutang kad kredit serta pembiayaan peribadi.

Mungkin tujuan kerajaan mengurangkan kuasa beli ini adalah untuk mengurangkan permintaan di pasaran sekali gus memaksa pemaju hartanah merendahkan harga rumah tetapi adakah ia akan berlaku?.

Menurut pemaju hartanah ketika dihubungi Utusan Malaysia, harga rumah tidak mungkin akan turun disebabkan peraturan baharu berkenaan dan apa yang akan berlaku adalah kekurangan bekalan di pasaran kerana pemaju akan mengurangkan projek.

Sepatutnya, peraturan itu hanya dikenakan untuk rumah-rumah mewah, manakala bagi rumah berstatus kos sederhana rendah dan rendah perlu dikekalkan tempohnya seperti sebelum ini.

Sumber : Utusan Melayu

Berapa Nilai Sebenar Rumah Mampu Milik

Sekadar gambar hiasan


Harga rumah mampu milik yang dicanang pemaju perumahan sekarang sudah tersasar daripada istilah 'mampu milik' yang sebenar. Berapakah nilai mampu milik sebenar mengikut keadaan semasa pendapatan rakyat dan pihak mana yang bertanggungjawab menentukan menetapkan standard harga rumah berstatus mampu milik?

Oleh kerana tiada standard atau akta mampu milik wujud, maka istilah mampu milik telah digunakan dengan sewenang-wenangnya walaupun nilai rumah yang ditawarkan sangat jelas di luar kemampuan rakyat berpendapatan sederhana.

Penganalisis Prof. Madya Datuk Mohammad Agus Yusoff berkata, pendapatan isi rumah sebanyak RM6,000 sebulan belum tentu dapat membeli rumah yang berharga RM400,000 yang dikatakan mampu milik ketika ini.

"Andaikan si pembeli meminjam RM400,000 daripada bank dengan purata kadar faedah enam peratus setahun, peminjam perlu membayar ansuran bulanan kira-kira RM2,400 selama 30 tahun. 

"Persoalannya, berapa ramaikah rakyat kita memiliki pendapatan isi rumah RM6,000 sebulan sekarang dan bagaimana pula nasib golongan yang memiliki pendapatan yang lebih rendah," katanya.
Persoalan yang sentiasa bermain di fikiran rakyat adalah mengapa harga rumah mahal dan apabila diajukan soalan berkenaan, pihak yang berkaitan akan saling menuding.

Jawapan pemaju mudah sahaja, iaitu kerana barang kos pembinaan seperti simen, pasir, batu-bata dan seribu satu macam perkara lain lagi naik harga. Bagi ahli ekonomi, mereka menjawab kerana permintaan melebihi penawaran. 

"Saya pun hairan kenapa kerajaan begitu sukar mengawal harga rumah ini dan menetapkan harga rumah mampu milik, iaitu yang boleh dibeli oleh golongan berpendapatan sederhana yang harganya dalam lingkungan RM100,000- RM200,000 sahaja," jelasnya.

Jelas beliau, harga rumah yang ditetapkan oleh pemaju sekarang sudah melampau dan bayangkan bagaimana seorang yang baharu bekerja boleh memiliki rumah jika harga rumah dua tingkat di Bandar Baru Bangi dengan keluasan 20 x 70 kaki sudah mencecah RM500,000. 

Bayangkan pula kalau mereka mempunyai hutang kereta, kos tanggungan anak dan kos-kos lain kehidupan seharian - mana mungkin mereka mampu memiliki rumah ketika ini.

Terdapat beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan bagi mengawal senario tidak sihat ini dari terus mengancam kehidupan rakyat, antaranya:

i. Turunkan kadar faedah serendah mungkin pembiayaan bagi rumah pertama. Contoh mekanisme terbaik seperti sesetengah bank hanya mengenakan kadar faedah sebanyak 1 peratus kepada kakitangannya.

ii. Naikkan elaun perumahan untuk kumpulan sokongan dari RM180 sebulan kepada jumlah yang lebih wajar dan termasuk wajibkan kepada pekerja swasta.

iii. Kerajaan sendiri membina lebih banyak rumah sesuai dengan permintaan dengan tidak lagi menyerahkannya kepada pemaju swasta. Sekiranya syarikat swasta mahu juga membinanya, kerajaan perlu meminda akta supaya segala pembangunan perumahan yang dilakukan oleh syarikat swasta hendaklah mengikut syarat-syarat ketat harga yang ditetapkan kerajaan supaya harga menjadi terkawal dan tidak melampau.

iv. Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sepatutnya merangka mekanisme untuk menurunkan harga rumah sama ada dengan mengurangkan kos pembinaan dan lain-lain tindakan yang wajar.

v. Jika harga rumah mahal disebabkan oleh harga tanah, maka kerajaan hendaklah menetapkan harga siling bagi setiap kaki persegi tanah.

vi. Jika harga tanah di bandar mahal untuk membangunkan perumahan, maka bina lebih banyak pangsapuri untuk golongan berpendapatan rendah.

Sumber : Utusan Melayu

8/12/2013

Maklumat Tekini Perumahan Di Sabah



Ramai orang di luar sana akan mula tercari-cari sumber maklumat tentang hartanah atau perumahan baru atau design rumah. 

Para pencari rumah terutamanya di sekitar Sabah bolehlah sertai Equest Group melalui Facebook. Terdapat maklumat projek terbaru perumahan dan rekabentuk rumah yang menarik untuk pilihan pembeli. 

Selain itu juga para pembeli dan rakan FB juga dapat berkongsi maklumat tentang proses belian, pinjaman, insuran, sewa dan hal lain berkaitan hartanah. 

Ada juga maklumat rumah dengan inovasi atau e-novations design & build terkini serta kos pembinaan yang dikira murah untuk dibina di tanah sendiri seperti penggunaan cement concrete board, IBS, steel frame dan lain-lain. 









8/11/2013

Cukai Keuntungan Hartanah Dinaikkan 30%

 
 Sekadar gambar hiasan

Kerajaan bakal menaikkan kadar cukai keuntungan hartanah sekali ganda berbanding 15 peratus pada masa ini, sebagai antara langkah terakhir bagi mengawal kenaikan harga rumah secara mendadak di negara ini khususnya di kawasan bandar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan bagaimanapun berkata, kenaikan cukai kepada 30 peratus itu akan dibuat sekiranya keadaan betul-betul terdesak yang menyaksikan harga rumah terus meningkat dengan mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia.

“Dahulu kita pernah letakkan kadar cukai ini pada paras 30 peratus, maknanya kalau kita beli rumah, lepas itu jual dalam masa dua tahun, cukai keuntungan kita adalah 30 peratus daripada rumah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa bersama penduduk kampung di Masjid Kampung Taun Gusi, di sini malam tadi.

Abdul Rahman berkata, kenaikan kadar cukai berkenaan bertujuan mengurangkan aktiviti pembeli hartanah yang mahu mengambil keuntungan dengan membeli dan menjual hartanah sekali gus menyebabkan kenaikan harga rumah secara mendadak.

“Ini untuk mengelakkan aktiviti spekulasi, contohnya apabila ada rumah dibina selalunya akan dijual habis tetapi apabila siap banyak pula iklan untuk menjualnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bengkel khas bagi mencari kaedah terbaik menurunkan harga rumah akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Kata beliau, bengkel sehari suntuk itu akan melibatkan pakar dari kementeriannya, ahli akademik, pemaju perumahan dan peserta dalam industri pembinaan.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 10 peratus daripada projek perumahan rakyat yang dilaksanakan di seluruh negara akan dikhaskan untuk program perumahan transit.

Ujarnya, pelaksanaan program untuk golongan muda yang baharu berkahwin itu akan dijalankan serentak termasuk di Sabah.

Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd

Nilai Hartanah Dijangka Meningkat 12%


Sekadar gambar hiasan

Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) menjangkakan nilai sektor hartanah negara akan bangkit semula separuh kedua tahun ini untuk mencapai pertumbuhan sekitar 12 peratus setahun.

Presidennya, Siva Shanker berkata, pada separuh pertama tahun ini pelabur dan pembeli hartanah agak berhati-hati dengan pasaran berikutan pilihan raya umum dan pertumbuhan jualan agak perlahan.

“Namun pelabur dan pembeli dijangka mula membuat pembelian ketika ini untuk mengimbangi situasi yang perlahan sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Unjuran Pasaran Hartanah Pasca PRU 13 di sini hari ini.

Beliau berkata, pertumbuhan sekitar 10 hingga 13 peratus adalah stabil berikutan kawalan pembiayaan berhemah yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tahun lalu.
“Pengenalan kawalan berkenaan tepat pada masanya dan berjaya mengawal kenaikan harga hartanah secara mendadak yang boleh menyumbang kepada gelembung hartanah.

“Pada 2010-2011, sektor hartanah mencatatkan pertumbuhan sehingga 35 peratus dan ini tidak baik untuk jangka masa panjang. Kawalan BNM telah mengekalkan pertumbuhan pada paras selamat pada tahun lalu iaitu sekitar 10 hingga 12 peratus,” jelasnya.

Ditanya kemungkinan untuk Malaysia berdepan dengan gelembung hartanah, Siva berkata, dalam keadaan sekarang hampir mustahil untuk fenomena berkenaan berlaku.

“Tahun ini, kami jangka tiada fenomena kenaikan harga yang melampau. Dalam tempoh 15 tahun ini, sektor hartanah Malaysia sangat stabil,” ujarnya.

“Sebagai contoh ketika krisis ekonomi 2008-2009, nilai hartanah di Singapura jatuh antara 40 hingga 50 peratus tetapi sebaliknya di Malaysia, harganya kekal.

Mengulas mengenai peraturan baharu yang diperkenalkan oleh BNM dengan mengurangkan tempoh pembiayaan hartanah, beliau berkata, tiada impak besar dijangkakan.

“Sektor perbankan mengatakan kepada MIEA bahawa perniagaan berjalan seperti biasa dan pembelian hartanah kekal,” jelasnya.

Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd

Kalkulator Pinjaman Rumah

Kalkulator Pinjaman

Semak kadar pinjaman dan kelayakan anda secara online. Masukkan data-data jumlah pinjaman, kadar bank dan kira untuk melihat kebarangkalian bayaran bulanan pada bank

Kundasang War Memorial

Desa Dairy Farm Kundasang

Lok Kawi Wildlife Park

Rumah Terbalik di Jalan Tamparuli

Poring Hot Spring Ranau

Taman Pertanian Tenom