HOME

9/20/2012

Bina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik


Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berharap pembentangan Bajet 2013 lebih memberi tumpuan terhadap membantu rakyat berpendapatan sederhana memiliki kediaman sendiri. Menterinya, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, pengumuman bajet yang memberi keutamaan kepada rakyat memiliki rumah sangat dinanti-nantikan.

Beliau menambah, pembinaan lebih banyak rumah mampu milik dilihat dapat membantu golongan berpendapatan sederhana RM3,000 hingga RM6,000 sebulan untuk memiliki rumah sendiri.

"Sekiranya pembinaan rumah mampu milik ini dapat ditingkatkan kepada 30,000 hingga 50,000 unit, peluang rakyat yang inginkan kediaman sendiri akan cerah, sekali gus mengurangkan tekanan kepada keperluan asas itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Golden Bull Award 2012 di sini hari ini.

Tambahnya, agak mustahil untuk memiliki rumah mampu milik di kawasan berstatus tinggi dan di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.

"Saya cadangkan agar tanah Kerajaan Persekutuan yang masih terbiar digunakan untuk membina rumah-rumah tersebut seperti di Sungai Buloh," katanya. Bagaimanapun kata beliau, di pinggir bandar pembinaan rumah berharga tidak melebihi RM300,000 masih banyak.

"Rakyat masih lagi boleh mendapatkan rumah berkenaan di kawasan tidak jauh dari ibu kota seperti di Kajang, Semenyih atau Rawang," ujarnya.

Sumber info : Utusan Online

No comments:

Post a Comment