PUTRAJAYA 28 Jun – Kurangnya kesedaran di kalangan masyarakat negara ini mengenai wasiat menyebabkan kira-kira RM42 bilion wang tunai dan aset milik individu yang meninggal dunia kini masih dalam simpanan Amanah Raya Berhad kerana tidak dituntut oleh waris mereka.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin (gambar) berkata, bagi memastikan situasi itu tidak berterusan, institusi kewangan di negara ini disaran mengambil bahagian dalam mendidik dan menawarkan kaedah penyelesaian terbaik kepada masyarakat.
Menurutnya, situasi tersebut berlaku kerana tiada perancangan masa depan yang mampu menjamin kestabilan ekonomi untuk jangka masa panjang di kalangan masyarakat di negara ini.
“Wang tunai dan aset itu masih dibekukan sehingga kini kerana tiada waris tampil menuntut hak mereka. Dalam kes harta orang Islam, pembekuan harta itu berlaku kerana kebanyakan umat Islam masih kurang pengetahuan mengenai perancangan dan penulisan wasiat kepada waris.
“Urusan wasiat akan lebih terancang jika individu tertentu menulis wasiat dan tidak akan timbul pembekuan wang tunai atau aset si mati yang disimpan di dalam bank,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Perkhidmatan Perancang Kewangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini hari ini.
Menurut Awang Adek, perkhidmatan perancang kewangan yang diperkenalkan oleh BSN itu merupakan salah satu inisiatif terbaik untuk menggalakkan masyarakat di negara ini menyimpan dan melabur untuk masa depan yang lebih terjamin.
“Pengetahuan dalam pengurusan kewangan amat penting dalam kehidupan kerana ia merupakan asas untuk pelaburan yang bijak dan menepati objektif perancangan persaraan.
“Produk perancangan kewangan BSN menawarkan produk meliputi perlindungan takaful dan insurans pelaburan seperti Dana Al Jadid dan pengagihan seperti wasiat,” katanya.
No comments:
Post a Comment