10/18/2011

Taman Perumahan Nagapas

Melawat rumah sahabat di Taman Nagapas yang merupakan perumahan kos rendah yang dulu harganya dalam RM32,000 seunit. Walaupun asalnya rumah ini kos rendah tetapi pada hari ini tidak lagi kelihatan rumah semacam kos rendah kerana kebanyakkan pemiliknya telah mengubahsuai rumah tersebut.

Kedudukan taman ini juga tenang dan jauh dari kesibukkan pekan, manakala sumber air di sini juga dari 2 punca iaitu air graviti bukit dan air yang disediakan melalui paip.

Bagaimanapun tahniah untuk sahabat saya walaupun hanya mempunyai pendapatan yang tidak tetap tetapi mampu untuk memiliki rumah sendiri.


10/13/2011

Ubahsuai Rumah Sewa

Kediaman merupakan tempat untuk semua orang berteduh dari hujan dan panas. Bagaimanapun setiap kediaman perlu menjalani sebarang ubahsuai sama ada rumah tersebut untuk didiami sendiri atau disewakan agar keadaan dalamannya selesa untuk di tinggal.

Bagi rumah yang untuk didiami sendiri sudah semestinya akan mengalami ubahsuai yang sangat menarik untuk memberi kepuasan kepada pemiliknya. Sementara ubahsuai ke atas rumah sewa adalah untuk memberi tarikan kepada bakal penyewa atau keselesaan dan secara tidak langsung kadar sewa akan turut meningkat.

Untuk rumah yang kelihatan biasa-biasa sahaja terutama bahagian dalamannya boleh menyebabkan kadar sewanya kurang berbanding rumah yang mempunyai keselasaan dan menarik di dalamannya. Bagi pemilik yang kreatif akan sentiasa memastikan rumah sewa mereka dalam keadaan yang sangat menarik untuk dilihat oleh bakal-bakal penyewa atau penyewa sedia ada.

Kebiasaanya rumah yang mempunyai tarikan di dalaman mudah mendapat penyewa dan penyewa sedia ada akan kekal untuk jangka masa yang panjang.

Begitu juga gambar flat di bawah ini yang terletak di Taman Putra Jaya, Telipok merupakan rumah sewa saudara mara saya yang sedang diubahsuai oleh seorang sahabat. Sebelum ini rumah ini memang disewakan tetapi penyewanya telah pun keluar dan pemilik mengambil keputusan untuk mengubahsuai sedikit pada flat tersebut agar kelihatan menarik. Sementara itu, flat ini telah pun ditempah oleh bakal penyewa baharu dan akan masuk untuk beberapa hari lagi.

Dalam pada itu sahabat saya terpaksa mengejar masa untuk menyiapkan kerja-kerja ubahsuai ini. Walaupun rumah ini sekadar untuk disewakan tetapi saudara saya ini memastikan rumahnya ini selesa untuk di diami oleh penyewa dan kadar sewa akan meningkat dari yang asal.



10/12/2011

41 Belia Muflis Setiap Hari Gagal Urus Kewangan

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Seramai 41 belia Malaysia berumur lingkungan 21 hingga 40 tahun dianggarkan menjadi muflis setiap hari akibat kurangnya pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan.


Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj berkata, belia merupakan golongan utama menghadapi masalah kewangan dan menjadi muflis berbanding orang dewasa akibat daripada perbelanjaan yang tidak terkawal.


"Antara punca utama adalah kerana urusan sewa beli seperti kereta, rumah dan penggunaan kad kredit.


"Apabila lebih 30 peratus daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang, seseorang itu sudah dikira mempunyai masalah kewangan.


"Ini menunjukkan betapa kurangnya kesedaran golongan muda berkaitan pengurusan kewangan mereka dan jika perkara ini dibiarkan, ia akan menjadi lebih teruk," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran program RINGGIT Pertama Saya di sini, hari ini.


Program RINGGIT Pertama Saya adalah kerjasama antara Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna Malaysia (ERA Consumer) dan Citibank Bhd. dalam usaha memupuk kesedaran kanak-kanak berhubung pentingnya pengurusan kewangan.


Program ini melibatkan 400 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun dari 20 buah tadika di seluruh negara.


Paul menambah, FOMCA menggesa kerajaan untuk memasukkan pendidikan pengurusan kewangan di dalam sistem persekolahan untuk memberi ilmu bersesuaian kepada kanak-kanak.


"Kita harus mendidik generasi akan datang mengenai pentingnya pengurusan kewangan dan usaha ini sebaiknya dimulakan dari peringkat sekolah lagi," ujarnya.



Sumber Info : Utusan Online

10/11/2011

Rumah Sewa Sebagai Mesin Mencetak Wang

Apakah tujuan kita membeli rumah untuk dijadikan sebagai rumah sewa atau homestay ?

Tujuan utamanya adalah untuk menjana sumber pendapatan dan bagi membayar pinjaman rumah tersebut di setiap bulan sehingga selesai. Sesetengah orang berkata, ini adalah salah satu konsep pelaburan hartanah yang boleh diceburi oleh setiap individu sama ada mempunyai pendapatan besar ataupun kecil.

Bagi mereka yang belum melabur dalam industri hartanah ini maka buatlah sebarang perancangan serta kajian kerana tidak rugi untuk kita ceburi bidang ini.

Manakala bagi mereka yang telah menceburi bidang ini, diucapkan tahniah dan tingkatkan lagi portfolio hartanah tersebut dengan menambah bilangannya dari tahun ke tahun.

Untuk yang telah menjalankan perkhidmatan rumah sewa atau homestay, sebenarnya mereka telah pun mencipta mesin mencetak wang yang mempunyai jangka hayat lebih panjang berbanding tuannya.

Ini kerana, selagi rumah tersebut dijadikan rumah sewa maka ia telah menjana pendapatan atau rumah tersebut sebagai mesin mencetak wang untuk pemilik atau keluarganya. Mesin mencetak wang inilah yang paling efektif kerana wang tidak akan putus-putus selagi ada orang yang menyewa rumah tersebut.

Menurut kajian, penduduk di Malaysia ini sentiasa bertambah dari tahun ke tahun maka peluang pekerjaan juga bertambah seiring dengan arus kemajuan. Dengan faktor perkembangan ini, memyebabkan permintaan rumah sewa sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

Secara tidak lansung mesin mencetak wang kita akan terus aktif dari tahun ke tahun dan akan menambah nilai Ringgitnya kerana kadar sewa akan terus meningkat dari masa ke semasa.

Jangan tunggu lagi cepat-cepatlah membuat keputusan untuk mencari mesin mencetak wang.

Buat Keputusan Untuk Membeli Rumah

Sekadar gambar hiasan


Apabila merancang untuk membeli rumah atau apartment akan timbul di dalam fikiran kita, bagaimana hendak membayar pinjaman perumahan tersebut. Jika kita tidak membuat sebarang perancangan atau kajian maka keputusan untuk membeli rumah tersebut akan tergantung kerana risau tidak mampu untuk membayar rumah tersebut.

Kita lebih rela untuk terus tinggal di rumah ibubapa, rumah mentua, rumah sewa atau kaurters. Tetapi apabila kita membuat ilmu pelaburan hartanah maka kita tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan untuk membeli rumah.

Bagi mereka yang telah faham dan tahu sebarang langkah strategi di dalam melabur hartanah atau rumah sewa tidak ada halangan untuk mereka ceburi industri ini. Maka itu, ilmu pelaburan dan kewangan perlu kita cari sama ada melalui perbincangan, seminar, internet atau buku.

Apabila minda kita telah penuh oleh semua ilmu tersebut maka pelaburan hartanah dapat diceburi dengan sukses.

Kejayaan seseorang adalah seiring dengan ilmu dan ditambah pada setiap masa.

10/10/2011

Skim Rumah Pertamaku Naik RM400,000



1. Skim Rumah Pertamaku Naik 400K- meningkatkan had maksimum harga rumah daripada RM220 ribu kepada RM400 ribu bagi pembiayaan bersama suami isteri. Penambahan had ini boleh dinimkati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suam isteri bemula 2012.


Untuk Bajet siri 2012, disertakan sekali pakej skim pilihan editor yang lain, ianya adalah:-


2. Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), iaitu satu agensi tunggal yang berperanan untuk membangun dan menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana. Skim ini bertujuan membantu pembeli mencapai impian mereka memiliki rumah pertama.


3. Pembelian rumah secara kaedah bina kemudian jual (built and sell) melalui pembiayan patuh syariah – pembiayaan RM600 ribu ke bawah: Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara, 15,000 unit, Program Rumah Mesra Rakyat oleh SPNB, 10,000 unit dengan Kerajaan menyediakan subsidi sebanyak RM20 ribu bagi setiap rumah dan Tabung Khas Perumahan Nelayan untuk membina rumah yang lebih selesa dan dilengkapi dengan kemudahan asas bagi nelayan


4. Kerajaan akan memperuntukkan RM978 juta bagi mempercepatkan pembangunan di lima koridor wilayah.


5. Kerajaan akan memperuntukkan RM200 juta sebagai subsidi bagi 10,000 unit rumah yang akan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd. Setiap rumah dengan kos RM65,000, akan dijual dengan harga RM45,000 dengan kerajaan memberi subsidi baki RM20,000.


6. RM40 juta diperuntukkan bagi membaik pulih dan menyelenggarakan rumah kos rendah awam dan swasta.


7. Kerajaan akan memperuntukkan RM63 juta pada 2012 untuk memulihkan 1,270 rumah terbengkalai.


8. Kadar cukai keuntungan harta tanah tidak berkesan dalam membendung aktiviti spekulasi. Kerajaan mencadangkan kadar cukai dikenakan pada; Hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan melebihi dua hingga lima tahun – 10% cukai, Hartanah yang dilupuskan tidak melebihi lima tahun – kekal 5% dan Hartanah yang dilupuskan melebihi lima tahun – kekal tiada dikenakan cukai


9. Pengecualian Duti Setem ke Atas Surat Cara perjanjian Pinjaman Dibawah Skim Perumahan Rakyat 1malaysia (PR1MA)


10. Pengecualian Cukai keuntungan Harta tanah ke atas keuntungan pelupusan sebuah rumah kediaman sekali dam seumur hidup oleh individu warganegara dan pemastautin tetap Malaysia


11. Pengecualian Cukai keuntungan Harta tanah ke atas keuntungan pelupusan hartanah antara ibu bapa dan anak, suami dan isteri, datuk atau nenek dan cucu.


12. Pengecualian Cukai keuntungan Harta tanah hanya dikenakan keatas keuntungan bersih setelah ditolak semua kos terlibat seperti harga belia, kos pengubahsuaian dan kos sampingan seperti yuran guaman dan duti setem


13. Cukai dikecualikan sehingga RM10,000 atau 10% daripada keuntungan bersih, yang mana lebih tinggi diberi bagi individu


14. Pengecualian cukai diatas diperkuatkuasankan bermula dari 1 Januari 2012.


Sumber Info : http://www.drumah.com/

MBSB Lancar Pakej Baharu Pinjaman Peribadi Dan Perumahan



Malaysia Building Society Berhad (MBSB) melancarkan pakej baharu pinjaman peribadi dan perumahan dengan kadar tetap serendah 3.5 peratus.


Ketua Perniagaan Runcitnya, Azman Aziz berkata, sebagai sebuah institusi kewangan, MBSB sentiasa berusaha mempelbagaikan produk yang ditawarkan kepada pelanggan dan pelancaran pakej baharu itu adalah khas untuk kakitangan kerajaan dan orang ramai.


“Selain menawarkan pembiayaan dengan kadar berpatutan, peminjam juga berpeluang mendapat hadiah lumayan berupa Sijil Simpanan Tetap bernilai RM260,000.


“Malah, melalui pakej baharu ini mereka juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM100,000 melalui cabutan pada Jun 2012,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Fiesta Pembiayaan Peribadi MBSB di sebuah pusat membeli belah di sini, semalam.


Menurut Azman, pakej pinjaman perumahan yang ditawarkan MBSB juga menawarkan hadiah menarik iaitu peminjam berpeluang memenangi sebuah kondominium A’ Famosa, Melaka yang dilengkapi dengan perabot.


“Justeru, melalui pendekatan turun padang seperti ini dengan mengadakan karnival di beberapa negeri diharap dapat mendekati pelanggan dengan lebih mudah terutama dalam memberi informasi dan khidmat nasihat,” jelasnya.



Selain itu, Azman berkata, produk utama pembiayaan runcit MBSB iaitu Pembiayaan Peribadi-i menjadi penyumbang utama kepada peningkatan aset peminjam.


“Malah, pinjaman ini boleh juga digunakan untuk tujuan pendidikan, pelaburan dan perubatan,” katanya.


Sumber info : Utusan Online

10/04/2011

PROPEX 2011 di Sabah Trade Center

Pameran Sabah Property yang dianjurkan oleh SHAREDA telah berlansung pada 30 September 2011 hingga 02 Oktober 2011 di Sabah Trade Center. Beberapa syarikat pemaju dan pihak bank menyertai EXPO ini untuk orang ramai melihat projek perumahan baru, info pembiayaan bank dan peluang pelaburan hartanah.

Terdapat banyak projek perumahan baru yang dilancarkan dan beberapa projek akan dilancarkan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan. Dalam pemerhatian saya yang boleh dikatakan dalam EXPO ini, semua jenis rumah yang dijual telah pun meningkat naik dari segi harganya.

Kawasan projek perumahan yang baru dan akan dilancarkan oleh pemaju tertumpuan kawasan Kota Kinabalu, Sepanggar, KKIP dan Kinarut.
Manakala dari segi pinjaman yang menarik ditawarkan adalah seperti Bank Muamalat http://www.muamalat.com.my dengan Margin of Financing sehingga 95% + 10% (MRTT, legal fees, etc) serta rates BFR - 2.5% dan pinjaman oleh agensi selain bank yang saya tertarik ialah Borneo Housing Finance Berhad http://www.borneohousing.com.my yang menawarkan pinjaman 100% untuk kakitangan awam negeri Sabah dan badan berkanun Sabah dengan rates 3% lebih rendah berbanding pinjaman rumah Perbendaharaan.

Bagaimanapun bukan soal yang mana menawarkan pinjaman terbaik atau harga rumah mampu milik. Tetapi bergantung pada seseorang di dalam menentukan arah tuju kehidupan sebenar sama ada masih mengharap rumah keluarga, menyewa atau kaurters.

Kita perlu membuat satu keputusan atau azam yang tinggi di dalam impian untuk memiliki kediaman sendiri mengikut kemampuan masing-masing. Terdapat banyak peluang dan ruang untuk kita bertindak di dalam mengejar impian memiliki rumah sendiri.

Cuma kita perlu rajin mencari maklumat tentang pembelian rumah melalui buku, majalah, internet dan sahabat handai. Selepas memiliki semua ilmu atau maklumat tersebut barulah kita membuat keputusan dan merancang membeli rumah, jangan terburu-buru di dalam membuat keputusan.





10/03/2011

Jemaah Haji Dari Sabah 2011 (1432 hijrah)

Awal Subuh 03 Oktober 2011 dalam 1.30 pagi saya telah bergerak dari rumah untuk menghantar emak saya yang termasuk di dalam kumpulan pertama bakal haji dari Sabah. Para jemaah haji di minta melapor diri di KKIA dalam 3.25pagi sebelum penerbangan yang dijadualkan pada 8.30pagi berlepas ke Mekah.

Sesampai sahaja di KKIA telah ramai bakal jemaah haji bersama sanak saudara yang turut serta. Beberapa jemaah haji juga kelihatan gembira dan tersenyum kerna dapat juga terpilih untuk mengerjakan fardu haji pada tahun ini. Dalam pada itu, beberapa orang kampung dan jiran turut serta menghantar kerna keluarga mereka juga turut dalam penerbangan pertama ini. Majoriti bakal jemaah haji adalah mereka yang telah pun berumur dan lanjut usia.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah kepada mereka yang masih muda cepatlah mendaftar haji dengan jumlah minimum simpanan RM1300.00 di Akaun Tabung Haji. Semakin kita lewat daftar maka semakin lewat giliran kita untuk mengerjakan haji satu hari nanti. Jika daftar tahun ini mungkin giliran kita dalam 20 tahun lebih akan datang, mungkin kita belum ada niat untuk mengerjakan haji tetapi kita perlu ada azam hendak mengerjakan haji satu hari nanti.

Buatlah azam, daftar haji dan buat simpanan sikit demi sikit, lama-lama menjadi bukit.



10/01/2011

Kata-kata Seorang Profesor

Gambar yang diambil dari facebook saya dan merupakan kata-kata Profesor Ungku Aziz untuk kita renung-renungkan bersama.



Marilah nilai diri sendiri yang mana satu kategori kita dan fikir-fikirkan lah.

Ramai orang memang pintar bercakap dan memberi pendapat yang bernas tetapi apabila masa hendak pelaksanaan tugas tersebut macam-macam alasan diberikan untuk mengelak. Kalau ada pun yang ingin melaksanakan tugas diberi pun cuma sekadar melepaskan batuk di tangga dan untuk menunjukkan kerja di depan bos.

Kekadang tu ada juga orang yang baru memperolehi pangkat atau masuk kerja sudah mula menunjukkan kuasa dengan memberi arahan kerja kepada staff bawahan, walhal dia sendiri malas untuk menjalankan kerja tersebut dan mengharapkan kerja disiapkan oleh orang bawahan.

Bagaimanapun ada juga orang yang memang ikhlas menjalankan tugas dan sanggup menyiapkan tugas diberikan selepas waktu kerja tetapi kekadang mereka ini tidak dihargai oleh pihak tertentu.

Inilah lumrah kehidupan kita di dalam melaksanakan tugas masing-masing setiap hari, ada yang mengembirakan, ada yang membosankan dan ada yang memberi tekanan. Sebab itu sikap orang sentiasa berubah-ubah umpama air pasang surut.

Sebagai insan yang ingin berjaya maka kita haruslah sentiasa bersikap dan berfikiran positif di dalam melaksanakan kerja yang diberikan kerna ia akan memberi kesan yang baik serta membuka ruang seseorang mencapai kejayaan.

Mari kita nilai dan renung-renung diri kita.

Kalkulator Pinjaman Rumah

Kalkulator Pinjaman

Semak kadar pinjaman dan kelayakan anda secara online. Masukkan data-data jumlah pinjaman, kadar bank dan kira untuk melihat kebarangkalian bayaran bulanan pada bank

Kundasang War Memorial

Desa Dairy Farm Kundasang

Lok Kawi Wildlife Park

Rumah Terbalik di Jalan Tamparuli

Poring Hot Spring Ranau

Taman Pertanian Tenom