Salam Hormat dan Semoga dirahmati Para Pembaca
Dengan kos, inflasi dan GST yang baru diperkenalkan pasti memberi kesan kenaikan kepada nilai hartanah terutama di Sabah ini termasuk juga kesan permintaan dari pembeli.
Harga hartanah terus melonjat naik terutama kawasan bandar seperti Kota Kinabalu menyebabkan mereka yang baru masuk ke alam pekerjaan terlalu sukar untuk membeli atau memiliki sebarang hartanah, maka jawapannya adalah menyewa atau menumpang di rumah keluarga.
Mengapa ini terjadi ?
Adakah salah pihak pemimpin, pemaju, ekonomi atau diri sendiri.
Janganlah anda mencari kesalahan di pihak lain baik anda mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk memiliki sebuah kediaman.
Mulakan mencari rumah mempunyai harga yang rendah sekitar RM100K - RM130K. Bukan tidak ada tetapi kehendak kita yang tidak mempunyai keinginan memiliki rumah bernilai seperti demikian.
Kita lebih suka membeli rumah mengikut kelayakan gaji bukan mengikut kemampuan sebenar membayar bulanan.
Biarlah untuk permulaan belilah rumah yang mampu untuk kita bayar da
n pada akan datang barulah membeli rumah yang lebih besar.
Perkongsian Ilmu #Jana #Motivasi #Diri
DZT
#Penceramah, #Fasilitator #Motivasi
Perkongsian ilmu dalam pelaburan hartanah dan motivasi ke arah kejayaan kehidupan serta Keusahawanan
Showing posts with label HARTANAH. Show all posts
Showing posts with label HARTANAH. Show all posts
10/25/2014
Lawatan Tapak Dan Tinjauan Ke Tuaran Impian
Lawatan tapak dan meninjau ke apartment Tuaran Impian tempoh hari selepas mendapat kunci dari pihak pemaju SPNB. Dengan keluasan apartment 850sqft ini sudah pasti berbaloi memilikinya dengan harga RM130K dalam tahun 2014 ini. Tinggal rancangan kerja-kerja renovate dan pemasangan keperluan lagi perlu dilakukan.
Dari info yang diperolehi dari pihak pemaju bahawa fasa ke 2 akan dibina bersebelahan dengan harga permulaan RM220K (750sqft) dan RM240K (850sqft). Ini sudah pasti memberi cabaran kepada bakal pembeli baru atau pelabur hartanah baru.
Bagaimanapun saya sudah membuat tinjauan lokasi berdekatan beberapa apartment yang baru dibina berharga sekitar RM200K ke atas tetapi mempunyai keluasan yang kecil sahaja seperti 550sqft.
Bersebelahan gelanggan bola keranjang ini merupakan rancangan untuk fasa kedua Tuaran Impian dan kelihatan cerucuk batang (failing) tertanam.
Pelaburan hartanah salah satu strategik untuk melangkah sebagai seorang jutawan dan tanam serta bajakan minda dengan pemikiran jutawan.
-DZR-
12/30/2013
Langkah Sukar Pelabur Hartanah Untuk Tahun 2014 dan 3 Cara Mengatasinya
Penulis: Saufi Karim
Bagi yang mengikuti perkembangan saya sejak pada tahun lepas
2012, saya banyak mengenengahkan pembelian dan pelaburan hartanah tanpa
modal yang mana terdapat skim-skim yang membantu pembeli rumah pertama
mahupun yang bergelar pelabur hartanah.
Topik hari ini adalah untuk menunjukkan secara realitinya keadaan
hartanah Malaysia yang mana kerajaan cuba menangani masalah spekulator
yang menaikkan harga hartanah.
Dalam Artikel berbahasa Inggeris di ‘Star Online’ yang di tulis oleh
Shahanaaz Habib yang bertajuk ‘Business As Usual in Property Market’
beliau menemu-ramah Presiden Insititut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) dan
kesimpulan dibuat yang menjadikan kenaikan harga hartanah adalah
disebabkan kelab-kelab pelabur hartanah.
Kelab-kelab pelabur hartanah ini bergabung dan membeli hartanah
secara pukal dan mereka mengharapkan harga hartanah naik dalam masa akan
datang. Ahli kelab ini adalah pelabur dan bukannya pembeli hartanah
yang tulen yang mahu tinggal di dalam rumah tersebut.
Maka dengan itu sejak bajet 2013 lagi kerajaan telah mengambil
langkah awal bagi mengurangkan gejala spekulator hartanah bagi
memberikan peluang kepada pembeli hartanah yang tulen yang memerlukan
rumah sebagai keperluan.
Persoalannya adakah langkah kerajaan ini akan mengurangkan gejala
spekulator dan bagaimana sebenarnya kenaikan harga rumah boleh di kawal?
Ini kerana pelabur hartanah ini kebanyakkannya memang mempunyai modal
yang tinggi dan mereka hanya perlu ubah strategi pembelian hartanah
mereka.
Kenaikan harga hartanah bukan hanya bergantung kepada pelabur
hartanah, ianya juga bergantung kepada harga yang ditawarkan oleh pihak
pemaju juga dan kebanyakan harga hartanah melalui pihak pemaju memang
terlalu tinggi. Alasan mereka terhadap kenaikan harga hartanah adalah
disebabkan barang mentah yang tinggi serta kos pengurusan yang
meningkat.
Oleh sebab itu, tidak adil juga menyalahkan seratus peratus kepada
pelabur hartanah dan saya lihat langkah untuk mengawal kenaikan harga
hartanah mesti daripada pihak kerajaan sendiri terhadap semua pihak. Ini
kerana harga rumah mampu milik juga mahal daripada yang disangkakan,
mungkin tidak semua namun masih ada lagi yang mengeluh dengan harga
rumah mampu milik.
Oleh itu saya hendak kongsikan 3 cara atasi bajet 2014 ini dengan lebih tenang.
1. Beli Atau Melabur Hartanah Dengan Tempoh Jangka Masa Panjang
Kebanyakan aset hartanah yang lama seperti di lokasi Bangsar dan
lain-lain lokasi yang perdana mengalami kenaikan harga hartanah dalam
tempoh masa yang agak panjang.
Jadi sebagai pelabur hartanah atau penyimpan aset, anda seharusnya
menyimpan aset anda dalam tempoh yang lama sehingga ada pembeli yang
tulen yang mempunyai wang untuk membeli hartanah anda.
Tidak salah untuk anda menyimpan aset sekarang dan menuainya pada
masa akan datang walaupun mungkin kenaikan harga tidak seperti
dijangkan, namun hartanah pasti akan naik harganya disebabkan kekurangan
tanah untuk menampung permintaan yang semakin tinggi.
2. Sewakan Hartanah Anda, Bukan Menjual Terus
Bagi mengelakkan spekulasi harga hartanah yang semakin menjadi-jadi,
anda di galakkan mengambil strategi sewa rumah anda bagi mendapat
pendapatan pasif setiap bulan.
Jika ada penyewa yang bersetuju dengan harga sewa yang ditetapkan,
maka anda tidak perlu risau akan berlaku penindasan terhadap penyewa
kerana anda juga menanggung hutang bebas setiap bulan dengan bank.
Pihak penyewa perlulah bertimbang rasa kepada tuan rumah yang sanggup
memberikan sewa kepada mereka dan sekaligus suasana menang-menang mesti
ada dalam hal muamalat seperti ini.
3. Melabur Ikut Kemampuan dan Tidak Berlebihan
Bagi mereka yang baru hendak memulakan pelaburan hartanah, melaburlah
dengan bijak dan ikut kemampuan. Di dalam konsep pelaburan, anda mesti
tahu had anda dan jika anda mahukan melabur hartanah lebih daripada satu
atau dua buah rumah, anda perlu bekerja keras untuk mempunyai kemampuan
dalam pelaburan ini.
Paling penting ialah ilmu tentang bagaimana meguruskan rumah pelabura
anda supaya anda tidak mengalami kerugian sebelum, semasa dan selepas
membeli hartanah anda.
Sejak saya mengendalikan program pelaburan hartanah saya lihat ramai
yang mengalami masalah rumah terbengkalai dan juga terikut-ikut membeli
dan melabur hartanah tanpa membuat kaji selidik yang lebih mendalam.
Diharapkan artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu pembeli dan
pelabur hartanah yang baru yang merasakan mereka sudah tiada peluang
untuk membuat pelaburan hartanah pada situasi yang sukar sekarang ini.
Sumber :
http://www.majalahniaga.com/langkah-sukar-pelabur-hartanah-untuk-tahun-2014-dan-3-cara-mengatasinya.html
8/13/2013
Harga Rumah Terus Melambung
Sekadar gambar hiasan
Peraturan pembiayaan berkhemah dan pengurangan
tempoh pembiayaan hartanah tidak akan mengurangkan harga rumah tetapi
hanya mengurangkan kadar pertumbuhan tahunannya.
Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Siva Shanker
berkata, harga hartanah tidak mungkin akan turun kerana permintaannya
sangat tinggi terutamanya bagi rumah mampu milik.
"Peraturan baharu oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat berkesan
mengurangkan kadar pertumbuhan sebagai contoh pada 2010, nilai hartanah
melonjak hingga 35 peratus tetapi berjaya dikawal kepada sekitar 12
peratus tahun lalu.
"Kadar lonjakan nilai hartanah dapat diperlahankan tetapi kenaikan tetap berlaku setiap tahun," katanya, baru-baru ini.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan MIEA, hartanah
yang dijual semula biasanya akan lebih tinggi daripada harga asal ketika
dibeli.
"Untuk mengharapkan harga hartanah jatuh tidak mungkin berlaku ketika ini disebabkan permintaan.
"Di Malaysia, jika permintaan kurang, pemaju hartanah akan mengurangkan bekalan dan mereka tidak terjejas dengan melakukannya. Sebab itu harganya tidak akan turun," jelasnya.
Rekod MIEA menunjukkan transaksi hartanah jenis rumah di Lembah Klang
mencatatkan peningkatan sejak 2010 daripada RM30.65 bilion kepada
RM37.5 bilion pada 2012.
Permintaan tinggi adalah daripada rumah jenis teres dan peningkatan yang cukup tinggi direkodkan pada jenis pangsapuri.
Ditanya mengenai golongan muda yang semakin terhimpit untuk memiliki
rumah, Siva berkata, peranan kerajaan untuk situasi ini sangat penting
seperti yang dilakukan di Australia yang mana pembeli pertama diberikan
subsidi antara AU$5,000 hingga AU$7,000 untuk rumah pertama.
Menurutnya, di Malaysia projek Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia
(PR1MA) merupakan cara terbaik tetapi yang menjadi persoalannya adalah
perlaksanaan.
"Apa yang saya maksudkan adalah, dominasi pihak tertentu yang membeli
rumah berkenaan dalam jumlah yang banyak menerusi proksi mereka dan
fenomena ini telah berlaku.
"Akhirnya kerajaan akan menanggung beban masalah ini," ujarnya.
Sumber : Utusan Melayu
Sukar Miliki Rumah
Sekadar gambar hiasan
Oleh FAIRUS KASSIM
Dalam keadaan isu rumah yang terlampau mahal dan
tidak mampu dimiliki dan masih belum terpancar sinar penyelesaiannya,
satu kejutan telah dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk
mengurangkan tempoh pembiayaan aset keperluan asas rakyat berkenaan.
Persoalannya di sini, belum pun selesai bebanan yang dipikul ketika
ini, datang pula bebanan baharu yang menekan golongan muda yang sedang
merangkak-rangkak untuk cuba membina kehidupan yang lebih baik.
Baru-baru ini, BNM telah menetapkan tempoh maksimum pinjaman maksimum
dihadkan selama 10 tahun, manakala pinjaman pembelian rumah dihadkan
selama 35 tahun daripada 45 tahun sebelum ini. Pengurangan sebanyak 10
tahun untuk pembiayaan hartanah.
Teorinya sangat mudah, semakin rendah tempoh pembiayaan semakin tinggi ansuran bulanan yang perlu ditanggung pembeli.
Pada 1 Januari 2012, BNM telah pun melaksanakan undang-undang kawalan
pembiayaan dengan menetapkan nilai pembiayaan mesti berdasarkan gaji
bersih berbanding gaji kasar sebelum ini.
Dasar baharu berkenaan telah pun mengecilkan kemampuan golongan muda
untuk memiliki sebuah rumah, kini tempoh pembiayaan pula dikurangkan
sekali gus seperti hampir menutup ruang sepenuhnya kepada golongan ini.
Tidakkah mereka sedar bahawa tempoh pembiayaan dilanjutkan bukan
kerana suka-suka tetapi untuk memastikan pembeli mampu membeli rumah
dengan ansuran yang mampu ditanggung setiap bulan. Memang benar, semakin lama tempoh pinjaman semakin tinggi faedah yang
ditanggung pengguna tetapi itu sahaja cara yang ada untuk golongan muda
memiliki rumah yang semakin hari semakin mahal seolah-oleh tiada siapa
mampu mengawal kenaikannya.
Kenapa tidak diganggu harga rumah ini? Kenapa mesti diganggu tempoh
pembiayaan hartanah? Kenapa setiap undang-undang baharu hanya menjurus
kepada golongan pembeli dan bukannya penjual?
Golongan muda juga mempunyai banyak tanggungan lain seperti kereta,
kos sara hidup, keluarga, hutang pelajaran dan dengan gaji di bawah
RM3,000 sebulan sudah pasti ramai antara mereka tidak mampu memenuhi
kriteria pembiayaan berkhemah BNM.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Dekan Fakulti Ekonomi dan
Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd Fauzi
Mohd. Jani berkata, langkah itu akan menyebabkan golongan muda tewas
kepada golongan pertengahan usia dari segi kuasa beli.
Katanya, ketika ini, terdapat dua kelompok pembeli iaitu golongan
umur pertengahan antara 40 hingga 55 tahun dengan kewangan kukuh dan
golongan muda yang berumur di antara 25 hingga 35.
"Kesan jangka panjang yang akan dihadapi apabila peralihan umur
berlaku di mana golongan muda beralih ke golongan pertengahan umur, dan
ketika itu mereka terpaksa membeli rumah pada harga berlipat kali ganda
dari golongan sebelumnya.
"Fenomena ini akan mengakibatkan peluang untuk memiliki rumah semakin
tipis disebabkan kenaikan harga rumah tidak setara dengan kemampuan,"
katanya sambil menegaskan dasar pengurangan tempoh pembiayaan berkenaan
perlu dikaji semula.
Hartanah adalah aset bernilai tinggi dan nilainya sentiasa meningkat
dan jika pembeli tidak mampu membayar ansuran, risiko kerugian kepada
bank sangat kecil berbanding hutang kad kredit serta pembiayaan
peribadi.
Mungkin tujuan kerajaan mengurangkan kuasa beli ini adalah untuk
mengurangkan permintaan di pasaran sekali gus memaksa pemaju hartanah
merendahkan harga rumah tetapi adakah ia akan berlaku?.
Menurut pemaju hartanah ketika dihubungi Utusan Malaysia,
harga rumah tidak mungkin akan turun disebabkan peraturan baharu
berkenaan dan apa yang akan berlaku adalah kekurangan bekalan di pasaran
kerana pemaju akan mengurangkan projek.
Sepatutnya, peraturan itu hanya dikenakan untuk rumah-rumah mewah,
manakala bagi rumah berstatus kos sederhana rendah dan rendah perlu
dikekalkan tempohnya seperti sebelum ini.
Sumber : Utusan Melayu
Berapa Nilai Sebenar Rumah Mampu Milik
Sekadar gambar hiasan
Harga rumah mampu milik yang dicanang pemaju perumahan sekarang sudah tersasar daripada istilah 'mampu milik' yang sebenar. Berapakah nilai mampu milik sebenar mengikut keadaan semasa
pendapatan rakyat dan pihak mana yang bertanggungjawab menentukan
menetapkan standard harga rumah berstatus mampu milik?
Oleh kerana tiada standard atau akta mampu milik wujud, maka istilah
mampu milik telah digunakan dengan sewenang-wenangnya walaupun nilai
rumah yang ditawarkan sangat jelas di luar kemampuan rakyat
berpendapatan sederhana.
Penganalisis Prof. Madya Datuk Mohammad Agus Yusoff berkata,
pendapatan isi rumah sebanyak RM6,000 sebulan belum tentu dapat membeli
rumah yang berharga RM400,000 yang dikatakan mampu milik ketika ini.
"Andaikan si pembeli meminjam RM400,000 daripada bank dengan purata
kadar faedah enam peratus setahun, peminjam perlu membayar ansuran
bulanan kira-kira RM2,400 selama 30 tahun.
"Persoalannya, berapa ramaikah rakyat kita memiliki pendapatan isi
rumah RM6,000 sebulan sekarang dan bagaimana pula nasib golongan yang
memiliki pendapatan yang lebih rendah," katanya.
Persoalan yang sentiasa bermain di fikiran rakyat adalah mengapa
harga rumah mahal dan apabila diajukan soalan berkenaan, pihak yang
berkaitan akan saling menuding.
Jawapan pemaju mudah sahaja, iaitu kerana barang kos pembinaan
seperti simen, pasir, batu-bata dan seribu satu macam perkara lain lagi
naik harga. Bagi ahli ekonomi, mereka menjawab kerana permintaan melebihi penawaran.
"Saya pun hairan kenapa kerajaan begitu sukar mengawal harga rumah
ini dan menetapkan harga rumah mampu milik, iaitu yang boleh dibeli oleh
golongan berpendapatan sederhana yang harganya dalam lingkungan
RM100,000- RM200,000 sahaja," jelasnya.
Jelas beliau, harga rumah yang ditetapkan oleh pemaju sekarang sudah
melampau dan bayangkan bagaimana seorang yang baharu bekerja boleh
memiliki rumah jika harga rumah dua tingkat di Bandar Baru Bangi dengan
keluasan 20 x 70 kaki sudah mencecah RM500,000.
Bayangkan pula kalau mereka mempunyai hutang kereta, kos tanggungan
anak dan kos-kos lain kehidupan seharian - mana mungkin mereka mampu
memiliki rumah ketika ini.
Terdapat beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak
kerajaan bagi mengawal senario tidak sihat ini dari terus mengancam
kehidupan rakyat, antaranya:
i. Turunkan kadar faedah serendah mungkin pembiayaan bagi rumah
pertama. Contoh mekanisme terbaik seperti sesetengah bank hanya
mengenakan kadar faedah sebanyak 1 peratus kepada kakitangannya.
ii. Naikkan elaun perumahan untuk kumpulan sokongan dari RM180
sebulan kepada jumlah yang lebih wajar dan termasuk wajibkan kepada
pekerja swasta.
iii. Kerajaan sendiri membina lebih banyak rumah sesuai dengan
permintaan dengan tidak lagi menyerahkannya kepada pemaju swasta.
Sekiranya syarikat swasta mahu juga membinanya, kerajaan perlu meminda
akta supaya segala pembangunan perumahan yang dilakukan oleh syarikat
swasta hendaklah mengikut syarat-syarat ketat harga yang ditetapkan
kerajaan supaya harga menjadi terkawal dan tidak melampau.
iv. Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
sepatutnya merangka mekanisme untuk menurunkan harga rumah sama ada
dengan mengurangkan kos pembinaan dan lain-lain tindakan yang wajar.
v. Jika harga rumah mahal disebabkan oleh harga tanah, maka kerajaan
hendaklah menetapkan harga siling bagi setiap kaki persegi tanah.
vi. Jika harga tanah di bandar mahal untuk membangunkan perumahan,
maka bina lebih banyak pangsapuri untuk golongan berpendapatan rendah.
Sumber : Utusan Melayu
8/12/2013
Maklumat Tekini Perumahan Di Sabah
Ramai orang di luar sana akan mula tercari-cari sumber maklumat tentang hartanah atau perumahan baru atau design rumah.
Para pencari rumah terutamanya di sekitar Sabah bolehlah sertai Equest Group melalui Facebook. Terdapat maklumat projek terbaru perumahan dan rekabentuk rumah yang menarik untuk pilihan pembeli.
Selain itu juga para pembeli dan rakan FB juga dapat berkongsi maklumat tentang proses belian, pinjaman, insuran, sewa dan hal lain berkaitan hartanah.
Ada juga maklumat rumah dengan inovasi atau e-novations design & build terkini serta kos pembinaan yang dikira murah untuk dibina di tanah sendiri seperti penggunaan cement concrete board, IBS, steel frame dan lain-lain.
8/11/2013
Cukai Keuntungan Hartanah Dinaikkan 30%
Sekadar gambar hiasan
Kerajaan bakal menaikkan kadar cukai
keuntungan hartanah sekali ganda berbanding 15 peratus pada masa ini,
sebagai antara langkah terakhir bagi mengawal kenaikan harga rumah
secara mendadak di negara ini khususnya di kawasan bandar.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan
dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan bagaimanapun berkata,
kenaikan cukai kepada 30 peratus itu akan dibuat sekiranya keadaan
betul-betul terdesak yang menyaksikan harga rumah terus meningkat dengan
mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia.
“Dahulu kita pernah letakkan kadar cukai
ini pada paras 30 peratus, maknanya kalau kita beli rumah, lepas itu
jual dalam masa dua tahun, cukai keuntungan kita adalah 30 peratus
daripada rumah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis
berbuka puasa bersama penduduk kampung di Masjid Kampung Taun Gusi, di
sini malam tadi.
Abdul Rahman berkata, kenaikan kadar
cukai berkenaan bertujuan mengurangkan aktiviti pembeli hartanah yang
mahu mengambil keuntungan dengan membeli dan menjual hartanah sekali gus
menyebabkan kenaikan harga rumah secara mendadak.
“Ini untuk mengelakkan aktiviti
spekulasi, contohnya apabila ada rumah dibina selalunya akan dijual
habis tetapi apabila siap banyak pula iklan untuk menjualnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bengkel
khas bagi mencari kaedah terbaik menurunkan harga rumah akan diadakan
selepas Hari Raya Aidilfitri.
Kata beliau, bengkel sehari suntuk itu
akan melibatkan pakar dari kementeriannya, ahli akademik, pemaju
perumahan dan peserta dalam industri pembinaan.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak
10 peratus daripada projek perumahan rakyat yang dilaksanakan di seluruh
negara akan dikhaskan untuk program perumahan transit.
Ujarnya, pelaksanaan program untuk golongan muda yang baharu berkahwin itu akan dijalankan serentak termasuk di Sabah.
Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd
Nilai Hartanah Dijangka Meningkat 12%
Sekadar gambar hiasan
Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA)
menjangkakan nilai sektor hartanah negara akan bangkit semula separuh
kedua tahun ini untuk mencapai pertumbuhan sekitar 12 peratus setahun.
Presidennya, Siva Shanker berkata, pada
separuh pertama tahun ini pelabur dan pembeli hartanah agak berhati-hati
dengan pasaran berikutan pilihan raya umum dan pertumbuhan jualan agak
perlahan.
“Namun pelabur dan pembeli dijangka mula
membuat pembelian ketika ini untuk mengimbangi situasi yang perlahan
sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Unjuran Pasaran
Hartanah Pasca PRU 13 di sini hari ini.
Beliau berkata, pertumbuhan sekitar 10
hingga 13 peratus adalah stabil berikutan kawalan pembiayaan berhemah
yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tahun lalu.
“Pengenalan kawalan berkenaan tepat pada
masanya dan berjaya mengawal kenaikan harga hartanah secara mendadak
yang boleh menyumbang kepada gelembung hartanah.
“Pada 2010-2011, sektor hartanah
mencatatkan pertumbuhan sehingga 35 peratus dan ini tidak baik untuk
jangka masa panjang. Kawalan BNM telah mengekalkan pertumbuhan pada
paras selamat pada tahun lalu iaitu sekitar 10 hingga 12 peratus,”
jelasnya.
Ditanya kemungkinan untuk Malaysia
berdepan dengan gelembung hartanah, Siva berkata, dalam keadaan sekarang
hampir mustahil untuk fenomena berkenaan berlaku.
“Tahun ini, kami jangka tiada fenomena
kenaikan harga yang melampau. Dalam tempoh 15 tahun ini, sektor hartanah
Malaysia sangat stabil,” ujarnya.
“Sebagai contoh ketika krisis ekonomi
2008-2009, nilai hartanah di Singapura jatuh antara 40 hingga 50 peratus
tetapi sebaliknya di Malaysia, harganya kekal.
Mengulas mengenai peraturan baharu yang
diperkenalkan oleh BNM dengan mengurangkan tempoh pembiayaan hartanah,
beliau berkata, tiada impak besar dijangkakan.
“Sektor perbankan mengatakan kepada MIEA bahawa perniagaan berjalan seperti biasa dan pembelian hartanah kekal,” jelasnya.
Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd
12/16/2012
Sektor Hartanah Masih Kukuh Untuk 20 Tahun
Oleh NORLAILI ABD. RAHMAN
ekonomi@utusan.com.my
ekonomi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 9 Dis. - Sektor hartanah tempatan
mempunyai prospek yang sangat kukuh bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan
datang didorong antaranya oleh peningkatan populasi serta pertambahan
golongan berpendapatan sederhana tinggi dan kaya.
Ketua Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama PropertyGuru, Steve
Melhuish berkata, ekonomi Malaysia yang mengukuh serta pelbagai
inisiatif kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan sektor tersebut
memberi impak positif yang signifikan.
"Ini merupakan pemacu utama kepada pengukuhan sektor hartanah
Malaysia dalam tempoh jangka panjang, lebih ramai rakyat Malaysia yang
akan membeli hartanah seiring dengan peningkatan gaya hidup dan sebagai
pelaburan masa depan.
"Sejak beberapa tahun lalu, sektor hartanah Malaysia melalui fasa
yang baik walaupun terpaksa mengharungi ketidaktentuan ekonomi global,
ia hanya mencatat pertumbuhan mendatar dan ia sudah mencukupi di dalam
situasi seperti ini," katanya Utusan Malaysia di sini.
Katanya, bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan
Pulau Pinang akan terus mendapat perhatian pembeli dan pelabur kerana
lokasinya yang strategik.
Tambah beliau, permintaan terhadap hartanah seperti kondominium dan
ruang pejabat akan kekal tinggi di Kuala Lumpur manakala Pulau Pinang
lebih diminati oleh golongan pesara.
Pembangunan bandar baharu seperti Iskandar Malaysia yang terletak di
Johor Bharu katanya, amat diminati oleh rakyat Singapura dan ekspatriat
yang bekerja di republik tersebut kerana faktor lokasi yang berhampiran.
Malah harga rumah yang tinggi di negara tersebut memberi kelebihan kepada Malaysia.
" Penduduk Singapura amat berminat dengan projek-projek di Iskandar
Malaysia kerana mereka dapat memiliki rumah yang lebih luas pada harga
yang kompetitif.
"Kecenderungan mereka adalah kediaman bertanah berbanding strata
kerana ia lebih selesa dan berbeza dengan apa yang ditawarkan di
Singapura, " ujar beliau.
Bagaimanapun, Melhuish realistik dengan unjuran pertumbuhan sektor
hartanah jangka pendek tempatan, terutama pada suku pertama tahun depan
yang terpaksa menerima kesan daripada kesuraman persekitaran ekonomi
global.
Beliau meramalkan sektor hartanah tempatan mengalami kelembapan yang
menyebabkan kadar sewaan kondominium serta pembukaan ruang pejabat
baharu merosot.
Namun begitu, situasi tersebut katanya, adalah bersifat sementara dan
dijangka pulih semula seiring dengan pemulihan ekonomi global.
Info Artikel : Utusan Melayu (M) Bhd Online
12/10/2012
Peluang Memiliki Rumah PR1MA
Peluang untuk mereka yang mempunyai pendapatan isirumah dari RM2500 hingga RM7500 untuk memiliki rumah di bawah program "Perumahan Rakyat 1Malaysia" atau PR1MA.
Untuk keterangan lanjut sila layari http://www.pr1ma.my/
Untuk keterangan lanjut sila layari http://www.pr1ma.my/
10/04/2012
9/13/2012
Meninjau Taman Baru di Beaufort
Hari ini saya dengan seorang rakan sekerja membuat lawatan dan menilai seorang pelajar yang sedang membuat kerja-kerja pendawaian di sebuah taman perumahan baru di Beaufort. Sambil itu, sempatlah juga saya meninjau persekitaran rumah dan mengambil gambar.
Rekabentuk rumah sangat menarik dengan kelebaran dalam 22kaki dan terdapat 3 bilik di bahagian atas serta family hall. Setiap bilik dilengkapi dengan bilik mandi, jadi tidak perlu merebut-rebut semasa ingin menggunakan bilik mandi. Dari maklumat diperolehi harga rumah ini semasa perlancaran bermula RM280,000 untuk bahagian tengah tetapi kini tidak dipastikan dengan nilai semasa.
Bagaimanapun bagi pembeli rumah di taman ini sudah pasti tidak sabar menanti siapnya rumah impian mereka.
9/01/2012
PROPEX SHAREDA 2012
Ekspo Hartanah anjuran SHAREDA sedang berlangsung di Sabah Trade Center dari 30 Ogos - 2 September 2012 dan masa pameran adalah bermula jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam.
Beberapa pemaju dan syarikat mengambil bahagian di dalam expo ini yang mempamerkan unit-unit hartanah yang hendak dijual seperti rumah teres, apartment, kondominium, lot kedai dan lain-lain. Pelbagai aktiviti juga dijalankan di Expo ini untuk memeriahkan lagi suasana pameran.
Jom ke Expo SHAREDA untuk mencari rumah idaman.
6/10/2012
Melangkah Sebagai Jutawan Hartanah
Sekadar gambar hiasan
Ramai orang di luar sana mengimpikan untuk menjadi seorang yang kaya atau jutawan yang sukses. Tetapi kebanyakkan kita membayangkan bahawasanya dengan menjalankan perniagaan sendiri sahaja yang layak untuk bergelar jutawan.
Bagaimanapun bagi mereka yang bekerja atau makan gaji juga layak untuk bergelar jutawan. Gelaran jutawan adalah gelaran milik semua orang tetapi kita perlu merancang dan mencari peluang di dalam mencapai impian tersebut.
Bagi mereka yang bekerja dengan makan gaji boleh melabur dalam bidang hartanah untuk melangkah ke arah Jutawan Hartanah. Bunyinya agak mustahil jika kita tidak mempunyai ilmu pelaburan hartanah tetapi tidak mustahil bagi mereka yang sudah memiliki ilmu tersebut.
Apabila kita melabur dalam hartanah maka dalam masa yang sama kita telah mencipta hutang atau komitmen untuk menbayar pinjaman tersebut. Tetapi harus diingat bahawasanya membeli hartanah kemudian disewakan secara tidak langsung pinjaman tadi menjadi pinjaman baik atau positif kerana hartanah tadi telah disewakan bertukar menjadi "Mesin Mencipta Wang".
Membina portfolio hartanah menjadikan seseorang tersebut melangkah untuk bergelar sebagai seorang Jutawan. Tetapi bagaimana ? Jawapannya mudah sahaja, kita melangkah untuk membeli sebarang hartanah yang menpunyai nilai semasa RM100K-RM150K kemudian disewakan untuk mendapatkan pendapatan pasif yang digunakan untuk membayaran pinjaman hartanah tadi. Selang beberapa tahun nilai hartanah tersebut meningkat ke paras RM200K. Dalam masa yang sama kita mencari dan membina portfolio hartanah yang sama dengan nilai yang sama sehingga hartanah yang dimiliki sebanyak 5 unit. Apabila setiap hartanah bernilai RM200K seunit maka untuk 5 unit hartanah menjadikan nilai keseluruhan adalah RM1 juta lebih.
Secara tidak langsung sebelah kaki kita sebagai pelabur hartanah telah melangkah ke arah status jutawan dan sebelah kaki lagi berada disebelah kerana hartanah tersebut masih lagi mempunyai pinjaman atau gadai janji. Jika hartanah ini dikekalkan di dalam portfolio kita sehingga pinjaman tersebut diselesaikan dengan pendapatan sewa yang diperolehi.
Satu hari nanti selepas pinjaman hartanah tersebut selesai maka secara rasminya kita boleh bergelar atau memiliki status "Jutawan" secara penuh kerana memiliki aset yang bernilai melebihi RM1juta ke atas.
Untuk mereka di luar sana, mulakan dengan langkah pertama di dalam membina portfolio hartnah dan selamat melangkah sebagai "Jutawan Hartanah".
5/05/2012
Villa Anggun Papar Bakal Dilancarkan
Saya menerima mesej melalui facebook tentang projek baru perumahan di Papar dengan menawarkan kadar pinjaman 100% untuk golongan pekerja swasta dan kerajaan. Ini peluang terbaik sebelum pelancaran untuk sesiapa sahaja membuat tempahan dengan bayaran tempahan sebanyak RM1000.
Harga sebelum dilancarkan RM238,800 dan akan naik semasa pelancaran. Manakala saiz tanah agak kecil sedikit iaitu 16' X 70'.
Harga sebelum dilancarkan RM238,800 dan akan naik semasa pelancaran. Manakala saiz tanah agak kecil sedikit iaitu 16' X 70'.
5/04/2012
Fasa Dua Taman Takis Papar
Rumah teres 2 tingkat akan dilancarkan untuk fasa kedua Taman Takis Papar dan untuk keterangan lanjut boleh layari http://tamantakis.hpage.com/
Pada masa ini projek perumahan fasa satu sedang giat dijalankan untuk disiapkan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
5/02/2012
Sifu dan Mentor Hartanah Tn Azizi Ali
Nama Sifu Azizi Ali tidak asing di kalangan pelabur-pelaburan hartanah di Malaysia. Beliau merupakan seorang pelabur hartanah dan penulis buku motivasi tentang pelaburan hartanah.
Beberapa buku tentang pelaburan hartanah ditulis oleh beliau yang menjadi panduan terutama untuk pelabur baru. Setiap isi buku yang disampaikan pasti memberi kefahaman dan kepuasan untuk setiap orang lebih memahami tentang teknik sebenar pelaburan hartanah diurus.
Sesetengah pihak menyalahkan pelaburan hartanah tidak baik kerana mereka mengalami kerugian dalam pelaburan tersebut. Hakikatnya mereka tidak mempunyai ilmu dan mendalami teknik pelaburan hartanah sebenar.
Oleh itu untuk para pelabur yang baru berkecimpung perlulah membeli dan membaca buku yang ditulis oleh Sifu Azizi Ali atau hadir ke seminar yang dianjurkan oleh beliau. Setiap ilmu disampaikan pasti memberi banyak teknik dan pengajaran tentang pelaburan hartanah yang lebih strategik serta membawa kejayaan kepada setiap orang.
Untuk keterangan lanjut bolehlah layari http://www.millionairesplanet.com/index.asp
Subscribe to:
Posts (Atom)
Kalkulator Pinjaman Rumah
Kalkulator Pinjaman
Semak kadar pinjaman dan kelayakan anda secara online. Masukkan data-data jumlah pinjaman, kadar bank dan kira untuk melihat kebarangkalian bayaran bulanan pada bank















































