8/13/2013

Sukar Miliki Rumah


 Sekadar gambar hiasan

Oleh FAIRUS KASSIM
Dalam keadaan isu rumah yang terlampau mahal dan tidak mampu dimiliki dan masih belum terpancar sinar penyelesaiannya, satu kejutan telah dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan tempoh pembiayaan aset keperluan asas rakyat berkenaan. 

Persoalannya di sini, belum pun selesai bebanan yang dipikul ketika ini, datang pula bebanan baharu yang menekan golongan muda yang sedang merangkak-rangkak untuk cuba membina kehidupan yang lebih baik.

Baru-baru ini, BNM telah menetapkan tempoh maksimum pinjaman maksimum dihadkan selama 10 tahun, manakala pinjaman pembelian rumah dihadkan selama 35 tahun daripada 45 tahun sebelum ini. Pengurangan sebanyak 10 tahun untuk pembiayaan hartanah.

Teorinya sangat mudah, semakin rendah tempoh pembiayaan semakin tinggi ansuran bulanan yang perlu ditanggung pembeli.

Pada 1 Januari 2012, BNM telah pun melaksanakan undang-undang kawalan pembiayaan dengan menetapkan nilai pembiayaan mesti berdasarkan gaji bersih berbanding gaji kasar sebelum ini.
Dasar baharu berkenaan telah pun mengecilkan kemampuan golongan muda untuk memiliki sebuah rumah, kini tempoh pembiayaan pula dikurangkan sekali gus seperti hampir menutup ruang sepenuhnya kepada golongan ini.

Tidakkah mereka sedar bahawa tempoh pembiayaan dilanjutkan bukan kerana suka-suka tetapi untuk memastikan pembeli mampu membeli rumah dengan ansuran yang mampu ditanggung setiap bulan. Memang benar, semakin lama tempoh pinjaman semakin tinggi faedah yang ditanggung pengguna tetapi itu sahaja cara yang ada untuk golongan muda memiliki rumah yang semakin hari semakin mahal seolah-oleh tiada siapa mampu mengawal kenaikannya.

Kenapa tidak diganggu harga rumah ini? Kenapa mesti diganggu tempoh pembiayaan hartanah? Kenapa setiap undang-undang baharu hanya menjurus kepada golongan pembeli dan bukannya penjual?

Golongan muda juga mempunyai banyak tanggungan lain seperti kereta, kos sara hidup, keluarga, hutang pelajaran dan dengan gaji di bawah RM3,000 sebulan sudah pasti ramai antara mereka tidak mampu memenuhi kriteria pembiayaan berkhemah BNM.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd Fauzi Mohd. Jani berkata, langkah itu akan menyebabkan golongan muda tewas kepada golongan pertengahan usia dari segi kuasa beli.

Katanya, ketika ini, terdapat dua kelompok pembeli iaitu golongan umur pertengahan antara 40 hingga 55 tahun dengan kewangan kukuh dan golongan muda yang berumur di antara 25 hingga 35.

"Kesan jangka panjang yang akan dihadapi apabila peralihan umur berlaku di mana golongan muda beralih ke golongan pertengahan umur, dan ketika itu mereka terpaksa membeli rumah pada harga berlipat kali ganda dari golongan sebelumnya.

"Fenomena ini akan mengakibatkan peluang untuk memiliki rumah semakin tipis disebabkan kenaikan harga rumah tidak setara dengan kemampuan," katanya sambil menegaskan dasar pengurangan tempoh pembiayaan berkenaan perlu dikaji semula.

Hartanah adalah aset bernilai tinggi dan nilainya sentiasa meningkat dan jika pembeli tidak mampu membayar ansuran, risiko kerugian kepada bank sangat kecil berbanding hutang kad kredit serta pembiayaan peribadi.

Mungkin tujuan kerajaan mengurangkan kuasa beli ini adalah untuk mengurangkan permintaan di pasaran sekali gus memaksa pemaju hartanah merendahkan harga rumah tetapi adakah ia akan berlaku?.

Menurut pemaju hartanah ketika dihubungi Utusan Malaysia, harga rumah tidak mungkin akan turun disebabkan peraturan baharu berkenaan dan apa yang akan berlaku adalah kekurangan bekalan di pasaran kerana pemaju akan mengurangkan projek.

Sepatutnya, peraturan itu hanya dikenakan untuk rumah-rumah mewah, manakala bagi rumah berstatus kos sederhana rendah dan rendah perlu dikekalkan tempohnya seperti sebelum ini.

Sumber : Utusan Melayu

No comments:

Post a Comment

Kalkulator Pinjaman Rumah

Kalkulator Pinjaman

Semak kadar pinjaman dan kelayakan anda secara online. Masukkan data-data jumlah pinjaman, kadar bank dan kira untuk melihat kebarangkalian bayaran bulanan pada bank

Kundasang War Memorial

Desa Dairy Farm Kundasang

Lok Kawi Wildlife Park

Rumah Terbalik di Jalan Tamparuli

Poring Hot Spring Ranau

Taman Pertanian Tenom