8/11/2013

Cukai Keuntungan Hartanah Dinaikkan 30%

 
 Sekadar gambar hiasan

Kerajaan bakal menaikkan kadar cukai keuntungan hartanah sekali ganda berbanding 15 peratus pada masa ini, sebagai antara langkah terakhir bagi mengawal kenaikan harga rumah secara mendadak di negara ini khususnya di kawasan bandar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan bagaimanapun berkata, kenaikan cukai kepada 30 peratus itu akan dibuat sekiranya keadaan betul-betul terdesak yang menyaksikan harga rumah terus meningkat dengan mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia.

“Dahulu kita pernah letakkan kadar cukai ini pada paras 30 peratus, maknanya kalau kita beli rumah, lepas itu jual dalam masa dua tahun, cukai keuntungan kita adalah 30 peratus daripada rumah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa bersama penduduk kampung di Masjid Kampung Taun Gusi, di sini malam tadi.

Abdul Rahman berkata, kenaikan kadar cukai berkenaan bertujuan mengurangkan aktiviti pembeli hartanah yang mahu mengambil keuntungan dengan membeli dan menjual hartanah sekali gus menyebabkan kenaikan harga rumah secara mendadak.

“Ini untuk mengelakkan aktiviti spekulasi, contohnya apabila ada rumah dibina selalunya akan dijual habis tetapi apabila siap banyak pula iklan untuk menjualnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bengkel khas bagi mencari kaedah terbaik menurunkan harga rumah akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Kata beliau, bengkel sehari suntuk itu akan melibatkan pakar dari kementeriannya, ahli akademik, pemaju perumahan dan peserta dalam industri pembinaan.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 10 peratus daripada projek perumahan rakyat yang dilaksanakan di seluruh negara akan dikhaskan untuk program perumahan transit.

Ujarnya, pelaksanaan program untuk golongan muda yang baharu berkahwin itu akan dijalankan serentak termasuk di Sabah.

Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Kalkulator Pinjaman Rumah

Kalkulator Pinjaman

Semak kadar pinjaman dan kelayakan anda secara online. Masukkan data-data jumlah pinjaman, kadar bank dan kira untuk melihat kebarangkalian bayaran bulanan pada bank

Kundasang War Memorial

Desa Dairy Farm Kundasang

Lok Kawi Wildlife Park

Rumah Terbalik di Jalan Tamparuli

Poring Hot Spring Ranau

Taman Pertanian Tenom