|
|
RUMAH banglo besar tersergam indah di hujung kampung menarik minat penulis untuk mengetahui siapakah pemiliknya.
Salam diberi dan disambut dengan mesra oleh tuan rumah Mazmah Osman, 79 walaupun dia sedang menikmati makan tengahari bersama anak perempuannya Nor Hanida Mohd Yusoh,43.
Kedatangan penulis seakan mengganggu dia sedang makan membuatkan kami memohon maaf atas kedatangan kami secara mengejut.
Namun, dia begitu mesra dan turut menjemput penulis untuk makan bersama mereka tetapi kami menolak dan berbual-bual sambil menemani dia dan anaknya makan.
Rupa-rupanya pemilik banglo itu merupakan bekas ketua kampung yang telah kembali ke rahmatullah enam tahun lalu akibat kemalangan iaitu Mohd Yusoh Rasul yang juga merupakan ketua kampung pertama di Kampung L.B. Johnson.
Jasa beliau terhadap kampung ini sangat besar termasuklah semasa proses pembelian tanah oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS) dan Lembaga Tabung Haji kira-kira 15 tahun lalu.
Sebelum ini, Mazmah tinggal bersama suaminya, Yusoh tetapi selepas pemergiannya, dia kini ditemani Hanida yang bekerja di IPD Sepang serta tiga orang cucu lelaki Muhd. Fakhrul Haziq, 16, Muhd. Izzul Haqim,14 dan Muhd Syabil Haiqal, 11.
Hasil perkongsian hidup dengan arwah suami, beliau dikurniakan sembilan cahaya mata, enam lelaki dan tiga perempuan yang kesemuanya telah berjaya dalam bidang masing-masing.
Bertanyakan mengenai rumah tersebut, beliau berkata, anak-anak banyak membantu dalam mereka bentuk rumah itu yang kebetulan salah seorang daripadanya bekerja sebagai jurutera di Petronas.
“Arwah tidak merobohkan rumah yang lama, cuma diangkat dan diletakkan di belakang dan menjadi tempat arwah sembahyang,” katanya dalam loghat Negeri Sembilan.
Beliau begitu ramah dengan wartawan mungkin telah biasa menerima kunjungan orang ramai ketika arwah suami menjadi ketua kampung dahulu.
“Dahulu pernah arwah ditanya dengan wartawan, masa itu tak ingat tahun bila, tapi ada gambar arwah berdiri depan pagar.
“Arwah orangnya baik, suka tolong orang, petang-petang mesti keluar naik motor pusing satu kampung bawak tong racun.
“Dia akan meracun rumput-rumput yang menjalar di pagar masjid dan tepi-tepi jalan sekitar kampung,” katanya sambil tersenyum apabila penulis bertanya mengenai arwah kepadanya.
Rutin hariannya kini hanya tertumpu di rumah, beliau tidak lagi kuat untuk membuat kerja dan kebanyakan kerja dilakukan oleh pembantu dan anaknya.
“Rasa nak tolong ada, tapi badan dah tak berapa nak kuat, sekarang tolong arah-arah sahaja,” katanya sambil ketawa kecil.
Hanida berkata, sejak bapanya meninggal, dia mengambil keputusan untuk terus tinggal bersama ibunya di kampung ini walaupun terpaksa berulang alik ke Kuala Lumpur.
Kerana sebelum itu dia bertugas di Bukit Aman dan masih belum dapat ditukarkan ke Sepang.
“Kesian emak tinggal seorang dirumah, saya ambil keputusan untuk tinggal disini bersama anak-anak agar mudah untuk tengok-tengok dan jaga emak, maklumlah emak telah tua,” katanya.
Dalam pada itu penulis bertanya tentang aktiviti hariannya, dia hanya tersenyum.
“Umor dah dokek 80 poluh taun nak buek apo laie, duduk rumah ajo lah,” katanya sambil ketawa.
Sumber Info : Utusan Online
orang kampung den ni ha.. hehehe
ReplyDelete