1/28/2012

Thriller Workshop Hartanah Edisi Reborn

Jika ada kesempatan dan peluang sertailah workshop ini untuk menambah ilmu serta motivasi tentang pelaburan hartanah. Untuk keterangan lanjut http://www.thrillerhartanah.com/

Harga Rumah di 2012

Sekadar gambar hiasan
Tahun 2012 telah pun berlalu bergitu pantas tanpa disedari bulan Januari telah berada di penghujung bulan. Bagaimana dengan pelaburan hartanah dalam tahun 2012 ini adakah mengalami penurunan atau permintaan.

Menurut beberapa sumber yang menjangkakan bahawa harga rumah akan turun tetapi bagi rumah berstatus mewah. Bagaimanapun harga rumah atau apartment untuk jenis sederhana akan kekal atau mungkin akan naik atas dasar permintaan dari pembeli.

Malah pinjaman maksimum "Skim Rumah Pertamaku" telah dinaikkan dari RM200,000 ke RM400,000 yang diumumkan dalam Bajet 2012 dan telah pun berkuatkuasa mulai Januari tahun ini. Ini sebagai pertanda bahawa harga rumah tidak akan turun di dalam tahun ini kerana kos binaan dan permintaan yang semakin meningkat.

Bagaimana mereka yang baru berazam untuk membeli rumah dengan harga rumah yang semakin meningkat saban tahun dan melebihi dari kemampuan kita. Jangan cepat panik atau berputus asa kerana setiap halangan pasti ada jalan penyelesaiannya.

Sebelum bercadang membeli sesebuah rumah atau apartment, kita haruslah menambah ilmu tentang pembelian rumah dari pembacaan melalui buku, internet dan kawan-kawan. Selepas itu kita menambah ilmu tentang pengurusan kewangan peribadi yang akan banyak membantu kita mengurus wang lebih berhemah dan tersusun.

Kita juga boleh berjinak-jinak di dalam dunia perniagaan untuk menambah pendapatan sampingan bagi mereka yang bekerja makan gaji. Dengan pendapatan sampingan ini nanti dapat membantu kita meringankan tanggungan atau komitmen membayar pinjaman perumahan.

Semoga penjelasan ini dapat membantu kepada mereka yang bercadang untuk membeli rumah tahun ini, bagaimanapun jangan tunggu harga rumah turun kerana harga rumah diramalkan akan turun, tetapi bila ?

Bertindaklah dari sekarang. "Selamat Berjaya"

1/07/2012

Perbezaan MRTT dan MRTA

Apabila kita memohon untuk pinjaman perumahan, besar kemungkinan pegawai bank akan menawarkan insurans kredit dalam bentuk MRTT (Takaful Bertempoh Mengurangkan Pinjaman / Mortgage Reducing Term Takaful) yang patuh Syariah atau insurans MRTA (Insurans Bertempoh Mengurangkan Pinjaman / Mortgage Reducing Term Assurance) yang lazim. Polisi seperti ini telah dirangka untuk memberikan perlindungan kepada pelanggan sepanjang tempoh pinjaman dan melindungi tanggungan pelanggan daripada perlu menjelaskan hutang sekiranya sesuatu yang tidak diduga menimpanya.
Dengan kata lain, sekiranya pelanggan meninggal dunia, jumlah pinjaman belum jelas atas rumah pelanggan akan dibayar balik kepada bank. Perkara penting yang perlu ditekankan ialah manfaat insurans kredit dibayar terlebih dahulu kepada pemberi pinjaman, bukan kepada pelanggan, apabila pelanggan atau warisnya membuat tuntutan. Hanya jika terdapat baki selepas membayar balik pinjaman belum jelas, barulah wang tersebut akan diserahkan kepada pelanggan.
Di OCBC Al-Amin, pelanggan diberi pilihan untuk mendapatkan polisi ini apabila mengambil pinjaman, tetapi bank lain mungkin mempunyai dasar yang berbeza. Justeru, sebelum anda mendapatkan polisi ini, anda harus mempertimbangkan segala kelebihan dan kelemahannya. Kelebihan utama ialah ketenangan fikiran yang diberikan kerana mengetahui bahawa orang di bawah tanggungan anda tidak akan dibebankan dengan tanggungjawab melangsaikan hutang apabila anda sudah tiada; lebih-lebih lagi jika pinjaman dibuat atas hartanah yang menjadi tempat tinggal tanggungan anda. Jelas sekali bahawa jika mereka tidak mampu membayar ansuran pinjaman, rumah mungkin dirampas dan dilelong dan keluarga anda mungkin tiada tempat untuk berteduh.
Jika pinjaman anda adalah untuk hartanah pelaburan atau hartanah tambahan, dan kejadian sedemikian mungkin tidak menjejaskan tanggungan anda - contohnya mereka tidak menghuni atau tidak bergantung pada hartanah tersebut untuk pendapatan sewa - anda mungkin boleh mempertimbangkan pilihan membeli polisi insurans hayat kredit. Satu lagi perkara yang patut anda pertimbangkan sebelum membeli MRTT ialah sama ada anda mempunyai insurans atau aset lain, seperti wang simpanan, yang boleh digunakan untuk melangsaikan hutang anda sekiranya anda meninggal dunia. Anda boleh menggunakan aset ini untuk membayar balik baki pinjaman belum jelas jika sesuatu berlaku kepada anda. Kalau tidak, anda dinasihati agar mendapatkan perlindungan MRTT. Jika terdapat peminjam bersama, anda juga patut mempertimbangkan perlindungan untuk beliau.
Apabila anda sudah membuat keputusan untuk membeli MRTT, siapa yang patut anda hubungi? Tentunya anda mahu mendapatkan khidmat pembekal perkhidmatan yang menawarkan paling banyak nilai dan kemudahan. Sebagai langkah pertama, tanya jumlah premium yang dikenakan. Apabila anda membandingkan polisi, pastikan anda membandingkan manfaat yang sama; sebagai contoh apakah syarat perlindungan, adakah perlindungan hilang upaya diberikan, adakah perlindungan tempoh nilai berkurangan atau tempoh nilai tetap disediakan, dan adakah premium dipulangkan jika tiada tuntutan dibuat? Lazimnya MRTT disediakan dalam bentuk polisi insurans premium tunggal. Jika anda membeli polisi ini daripada bank sama yang memberikan pinjaman perumahan, bank akan membantu anda membiayai premium sebagai sebahagian daripada pinjaman. Ini sudah tentulah bergantung pada kedudukan kewangan anda.
Jika anda membeli MRTT anda di tempat lain, sila semak dengan bank sama ada anda dibenarkan untuk turut membiayai premium tersebut. Sebagai petua terakhir, tempoh 'ihsan' selama 15 hari disediakan untuk pembeli insurans.
Tempoh 'percubaan' ini ialah tempoh awal selepas anda menerima polisi di mana anda boleh bertukar fikiran dan mendapatkan semua wang anda kembali. Sekiranya anda was-was tentang pembelian yang telah dibuat, anda sebagai pemegang polisi berhak untuk mendapatkan wang kembali dalam tempoh yang ditetapkan.
Sumber info : Utusan Online

12/31/2011

Selamat Tinggal Tahun 2011

Sekadar gambar hiasan

Masa pantas berlalu meninggalkan kita, pejam celik - pejam celik tahun 2011 kini berada di penghujungnya. Beberapa peristiwa telah berlaku sepanjang tahun ini termasuk kejayaan dan kegagalan. Pelbagai rintangan telah dilalui oleh kita dan dugaan yang tidak dijangka juga hadir sebagai cabaran hidup yang perlu ditempuhi.

Sepanjang 2011 ini, apakah pencapaian yang kita kecapi atau hanya ia berlalu begitu saja atau kegagalan yang diperolehi. Tahniah untuk anda yang berolehi kejayaan di tahun ini, tingkatkan usaha anda dengan lebih strategik bagi yang beroleh kegagalan dan bangun dari mimpi untuk anda yang sentiasa berangan-angan menjadi kaya tetapi tidak mahu berusaha.

Setiap kejayaan yang diperolehi perlu ditingkatkan lagi untuk tahun hadapan agar kejayaan yang lebih besar dapat diperolehi.

Setiap kegagalan ada hikmahnya tetapi janganlah kecewa dengan kegagalan tersebut, mungkin ia sebagai pemangki semangat dan motivasi diri untuk berusaha agar berjaya pada tahun depan.

Manakala bagi mereka yang hanya menghadapi sepanjang tahun 2011 tanpa sebarang usaha dan matlamat, maka bangkitlah dari mimpi yang sentiasa mengharapkan sesuatu kejayaan datang bergolek, janganlah bermimpi di siang hari. Tidak ada pun sesuatu yang boleh dicapai tanpa sebarang usaha kerna pencapaian atau kejayaan perlu ada usahanya. Jangan berharap rezeki dari Tuhan semata-mata tanpa sebarang usaha memajukan diri dilakukan.

Setiap insan mempunyai peluang dan ruang untuk berusaha lebih maju untuk mencapai kejayaan di dalam hidup ini.

11/22/2011

Erti Kebebasan Kewangan

Matlamat pertama anda seharusnya adalah untuk jadi bebas kewangan... atau kewangan mandiri, atau bebas kewangan (sama je)

Ada juga antara kita tidak mahu jadi jutawan. Kalau tak nak jadi jutawan pun tak mengapa, itu terpulang pada individu. Namun, sekurang-kurangnya anda perlu menjadi bebas kewangan. Apakah maksud bebas kewangan?

Bebas kewangan adalah apabila pendapatan residual kita melebihi perbelanjaan bulanan kita. Dalam kata lain, walaupun kita tak perlu kerja, kewangan kita sudah mencukupi untuk menampung perbelanjaan bulanan.

Contoh, sekiranya kos sara hidup kita sekeluarga adalah RM4,000, kita perlu memiliki pendapatan residual melebihi RM4,000. :-

1. Mungkin, dalam pelaburan ASB mempunyai RM200,000- ini memberi pulangan pelaburan dalam lingkungan RM1,600 sebulan.

2. Mungkin kita ada menyewa 2 buah rumah, dan satu rumah pendapatan kita adalah RM500 dari sewa sebuah rumah. Maka, pendapatan dari sewa rumah adalah RM1,000

3. Mungkin kita memiliki perniagaan Internet secara automatik yang memberi pulangan RM1,500 sebulan

Dengan 3 pendapatan residual di atas, jumlah menjadi RM4,100 sebulan. Dengan ini, anda telah menjadi kewangan mandiri atau bebas kewangan! Anda tidak perlu kerja lagi seumur hidup!

Oleh : Irfan Khairi
(Sumber diterima melalui email Saya)

Syarat Bank Ketat Tahun 2012

Oleh Shahrizan Salianshahrizan@bharian.com.my
Berkuat kuasa 1 Januari 2012

Institusi kewangan tempatan akan membuat penilaian lebih ketat terhadap kemampuan pembayaran balik individu yang memohon mendapatkan pembiayaan, berkuat kuasa 1 Januari depan.

Di bawah garis panduan baru Bank Negara Malaysia semalam, institusi kewangan kini perlu mengambil kira pendapatan bersih, iaitu selepas ditolak potongan wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan cukai berjadual (PCB) serta semua tanggungan hutang lain ketika menilai kemampuan pemohon membayar balik pinjaman.

Sebelum ini institusi kewangan hanya mengambil kira jumlah pendapatan kasar.

Bagi memastikan seseorang pemohon pinjaman benar-benar memahami implikasi tanggungan pembiayaan yang bakal diambil, seterusnya membantu mereka membuat keputusan yang betul, garis panduan itu turut menetapkan supaya institusi kewangan memberikan maklumat terperinci mengenai produk pembiayaan yang dimohon.

Ia termasuk jumlah bayaran balik yang perlu diselesaikan peminjam, jumlah kos kadar faedah yang akan ditanggung sepanjang tempoh pembiayaan, serta kesan kenaikan kadar faedah terhadap pembiayaan yang diambil.

Garis panduan itu akan digunakan institusi kewangan bagi semua permohonan baru yang dibuat oleh individu dan pemilik tunggal perniagaan untuk produk pembiayaan rumah, kenderaan, kad kredit dan kad caj, pembiayaan peribadi termasuk overdraf serta pembiayaan untuk membeli saham kecuali pembiayaan margin saham yang tertakluk kepada peraturan Bursa Malaysia.

Bagi pembiayaan kereta, selain penilaian kemampuan bayaran balik pemohon yang lebih ketat, garis panduan itu turut mengehadkan tempoh pembayaran balik maksimum sembilan tahun.

Syarat yang berkuat kuasa serta-merta itu dibuat kerana Bank Negara berpendapat, tempoh pembiayaan maksimum itu adalah sesuai dengan jangka hayat purata sesebuah kenderaan.

Ketika ini ada institusi kewangan yang menawarkan tempoh bayaran balik yang lebih panjang. Bank Negara dalam kenyataannya semalam berkata, garis panduan baru itu diperkenalkan bertujuan menggalakkan amalan memberikan pembiayaan secara berhemah, bertanggungjawab dan telus di kalangan institusi kewangan tempatan.

Bank pusat itu berkata, selain institusi kewangan yang diletakkan di bawah skop Bank Negara, Suruhanjaya Koperasi akan turut melaksanakan garis panduan itu ke atas semua koperasi yang menyediakan pembiayaan kepada ahlinya.

Setakat akhir tahun lalu, pinjaman yang dikeluarkan kepada isi rumah berjumlah RM74.4 bilion dengan majoritinya adalah bagi tujuan membeli aset seperti rumah dan kenderaan.

10/18/2011

Taman Perumahan Nagapas

Melawat rumah sahabat di Taman Nagapas yang merupakan perumahan kos rendah yang dulu harganya dalam RM32,000 seunit. Walaupun asalnya rumah ini kos rendah tetapi pada hari ini tidak lagi kelihatan rumah semacam kos rendah kerana kebanyakkan pemiliknya telah mengubahsuai rumah tersebut.

Kedudukan taman ini juga tenang dan jauh dari kesibukkan pekan, manakala sumber air di sini juga dari 2 punca iaitu air graviti bukit dan air yang disediakan melalui paip.

Bagaimanapun tahniah untuk sahabat saya walaupun hanya mempunyai pendapatan yang tidak tetap tetapi mampu untuk memiliki rumah sendiri.


10/13/2011

Ubahsuai Rumah Sewa

Kediaman merupakan tempat untuk semua orang berteduh dari hujan dan panas. Bagaimanapun setiap kediaman perlu menjalani sebarang ubahsuai sama ada rumah tersebut untuk didiami sendiri atau disewakan agar keadaan dalamannya selesa untuk di tinggal.

Bagi rumah yang untuk didiami sendiri sudah semestinya akan mengalami ubahsuai yang sangat menarik untuk memberi kepuasan kepada pemiliknya. Sementara ubahsuai ke atas rumah sewa adalah untuk memberi tarikan kepada bakal penyewa atau keselesaan dan secara tidak langsung kadar sewa akan turut meningkat.

Untuk rumah yang kelihatan biasa-biasa sahaja terutama bahagian dalamannya boleh menyebabkan kadar sewanya kurang berbanding rumah yang mempunyai keselasaan dan menarik di dalamannya. Bagi pemilik yang kreatif akan sentiasa memastikan rumah sewa mereka dalam keadaan yang sangat menarik untuk dilihat oleh bakal-bakal penyewa atau penyewa sedia ada.

Kebiasaanya rumah yang mempunyai tarikan di dalaman mudah mendapat penyewa dan penyewa sedia ada akan kekal untuk jangka masa yang panjang.

Begitu juga gambar flat di bawah ini yang terletak di Taman Putra Jaya, Telipok merupakan rumah sewa saudara mara saya yang sedang diubahsuai oleh seorang sahabat. Sebelum ini rumah ini memang disewakan tetapi penyewanya telah pun keluar dan pemilik mengambil keputusan untuk mengubahsuai sedikit pada flat tersebut agar kelihatan menarik. Sementara itu, flat ini telah pun ditempah oleh bakal penyewa baharu dan akan masuk untuk beberapa hari lagi.

Dalam pada itu sahabat saya terpaksa mengejar masa untuk menyiapkan kerja-kerja ubahsuai ini. Walaupun rumah ini sekadar untuk disewakan tetapi saudara saya ini memastikan rumahnya ini selesa untuk di diami oleh penyewa dan kadar sewa akan meningkat dari yang asal.



10/12/2011

41 Belia Muflis Setiap Hari Gagal Urus Kewangan

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Seramai 41 belia Malaysia berumur lingkungan 21 hingga 40 tahun dianggarkan menjadi muflis setiap hari akibat kurangnya pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan.


Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj berkata, belia merupakan golongan utama menghadapi masalah kewangan dan menjadi muflis berbanding orang dewasa akibat daripada perbelanjaan yang tidak terkawal.


"Antara punca utama adalah kerana urusan sewa beli seperti kereta, rumah dan penggunaan kad kredit.


"Apabila lebih 30 peratus daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang, seseorang itu sudah dikira mempunyai masalah kewangan.


"Ini menunjukkan betapa kurangnya kesedaran golongan muda berkaitan pengurusan kewangan mereka dan jika perkara ini dibiarkan, ia akan menjadi lebih teruk," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran program RINGGIT Pertama Saya di sini, hari ini.


Program RINGGIT Pertama Saya adalah kerjasama antara Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan Pengguna Malaysia (ERA Consumer) dan Citibank Bhd. dalam usaha memupuk kesedaran kanak-kanak berhubung pentingnya pengurusan kewangan.


Program ini melibatkan 400 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun dari 20 buah tadika di seluruh negara.


Paul menambah, FOMCA menggesa kerajaan untuk memasukkan pendidikan pengurusan kewangan di dalam sistem persekolahan untuk memberi ilmu bersesuaian kepada kanak-kanak.


"Kita harus mendidik generasi akan datang mengenai pentingnya pengurusan kewangan dan usaha ini sebaiknya dimulakan dari peringkat sekolah lagi," ujarnya.



Sumber Info : Utusan Online

10/11/2011

Rumah Sewa Sebagai Mesin Mencetak Wang

Apakah tujuan kita membeli rumah untuk dijadikan sebagai rumah sewa atau homestay ?

Tujuan utamanya adalah untuk menjana sumber pendapatan dan bagi membayar pinjaman rumah tersebut di setiap bulan sehingga selesai. Sesetengah orang berkata, ini adalah salah satu konsep pelaburan hartanah yang boleh diceburi oleh setiap individu sama ada mempunyai pendapatan besar ataupun kecil.

Bagi mereka yang belum melabur dalam industri hartanah ini maka buatlah sebarang perancangan serta kajian kerana tidak rugi untuk kita ceburi bidang ini.

Manakala bagi mereka yang telah menceburi bidang ini, diucapkan tahniah dan tingkatkan lagi portfolio hartanah tersebut dengan menambah bilangannya dari tahun ke tahun.

Untuk yang telah menjalankan perkhidmatan rumah sewa atau homestay, sebenarnya mereka telah pun mencipta mesin mencetak wang yang mempunyai jangka hayat lebih panjang berbanding tuannya.

Ini kerana, selagi rumah tersebut dijadikan rumah sewa maka ia telah menjana pendapatan atau rumah tersebut sebagai mesin mencetak wang untuk pemilik atau keluarganya. Mesin mencetak wang inilah yang paling efektif kerana wang tidak akan putus-putus selagi ada orang yang menyewa rumah tersebut.

Menurut kajian, penduduk di Malaysia ini sentiasa bertambah dari tahun ke tahun maka peluang pekerjaan juga bertambah seiring dengan arus kemajuan. Dengan faktor perkembangan ini, memyebabkan permintaan rumah sewa sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

Secara tidak lansung mesin mencetak wang kita akan terus aktif dari tahun ke tahun dan akan menambah nilai Ringgitnya kerana kadar sewa akan terus meningkat dari masa ke semasa.

Jangan tunggu lagi cepat-cepatlah membuat keputusan untuk mencari mesin mencetak wang.

Kalkulator Pinjaman Rumah

Kalkulator Pinjaman

Semak kadar pinjaman dan kelayakan anda secara online. Masukkan data-data jumlah pinjaman, kadar bank dan kira untuk melihat kebarangkalian bayaran bulanan pada bank

Kundasang War Memorial

Desa Dairy Farm Kundasang

Lok Kawi Wildlife Park

Rumah Terbalik di Jalan Tamparuli

Poring Hot Spring Ranau

Taman Pertanian Tenom