12/30/2013

Langkah Sukar Pelabur Hartanah Untuk Tahun 2014 dan 3 Cara Mengatasinya

Penulis:
 
Bagi yang mengikuti perkembangan saya sejak pada tahun lepas 2012, saya banyak mengenengahkan pembelian dan pelaburan hartanah tanpa modal yang mana terdapat skim-skim yang membantu pembeli rumah pertama mahupun yang bergelar pelabur hartanah.

Topik hari ini adalah untuk menunjukkan secara realitinya keadaan hartanah Malaysia yang mana kerajaan cuba menangani masalah spekulator yang menaikkan harga hartanah.

Dalam Artikel berbahasa Inggeris di ‘Star Online’ yang di tulis oleh Shahanaaz Habib yang bertajuk ‘Business As Usual in Property Market’ beliau menemu-ramah Presiden Insititut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) dan kesimpulan dibuat yang menjadikan kenaikan harga hartanah adalah disebabkan kelab-kelab pelabur hartanah.

Kelab-kelab pelabur hartanah ini bergabung dan membeli hartanah secara pukal dan mereka mengharapkan harga hartanah naik dalam masa akan datang. Ahli kelab ini adalah pelabur dan bukannya pembeli hartanah yang tulen yang mahu tinggal di dalam rumah tersebut.

Maka dengan itu sejak bajet 2013 lagi kerajaan telah mengambil langkah awal bagi mengurangkan gejala spekulator hartanah bagi memberikan peluang kepada pembeli hartanah yang tulen yang memerlukan rumah sebagai keperluan.

Persoalannya adakah langkah kerajaan ini akan mengurangkan gejala spekulator dan bagaimana sebenarnya kenaikan harga rumah boleh di kawal? Ini kerana pelabur hartanah ini kebanyakkannya memang mempunyai modal yang tinggi dan mereka hanya perlu ubah strategi pembelian hartanah mereka.

Kenaikan harga hartanah bukan hanya bergantung kepada pelabur hartanah, ianya juga bergantung kepada harga yang ditawarkan oleh pihak pemaju juga dan kebanyakan harga hartanah melalui pihak pemaju memang terlalu tinggi. Alasan mereka terhadap kenaikan harga hartanah adalah disebabkan barang mentah yang tinggi serta kos pengurusan yang meningkat.

Oleh sebab itu, tidak adil juga menyalahkan seratus peratus kepada pelabur hartanah dan saya lihat langkah untuk mengawal kenaikan harga hartanah mesti daripada pihak kerajaan sendiri terhadap semua pihak. Ini kerana harga rumah mampu milik juga mahal daripada yang disangkakan, mungkin tidak semua namun masih ada lagi yang mengeluh dengan harga rumah mampu milik.

Oleh itu saya hendak kongsikan 3 cara atasi bajet 2014 ini dengan lebih tenang.

 

1. Beli Atau Melabur Hartanah Dengan Tempoh Jangka Masa Panjang

 
Kebanyakan aset hartanah yang lama seperti di lokasi Bangsar dan lain-lain lokasi yang perdana mengalami kenaikan harga hartanah dalam tempoh masa yang agak panjang.

Jadi sebagai pelabur hartanah atau penyimpan aset, anda seharusnya menyimpan aset anda dalam tempoh yang lama sehingga ada pembeli yang tulen yang mempunyai wang untuk membeli hartanah anda.

Tidak salah untuk anda menyimpan aset sekarang dan menuainya pada masa akan datang walaupun mungkin kenaikan harga tidak seperti dijangkan, namun hartanah pasti akan naik harganya disebabkan kekurangan tanah untuk menampung permintaan yang semakin tinggi.

 

2. Sewakan Hartanah Anda, Bukan Menjual Terus


Bagi mengelakkan spekulasi harga hartanah yang semakin menjadi-jadi, anda di galakkan mengambil strategi sewa rumah anda bagi mendapat pendapatan pasif setiap bulan.

Jika ada penyewa yang bersetuju dengan harga sewa yang ditetapkan, maka anda tidak perlu risau akan berlaku penindasan terhadap penyewa kerana anda juga menanggung hutang bebas setiap bulan dengan bank.

Pihak penyewa perlulah bertimbang rasa kepada tuan rumah yang sanggup memberikan sewa kepada mereka dan sekaligus suasana menang-menang mesti ada dalam hal muamalat seperti ini.

 

3. Melabur Ikut Kemampuan dan Tidak Berlebihan


Bagi mereka yang baru hendak memulakan pelaburan hartanah, melaburlah dengan bijak dan ikut kemampuan. Di dalam konsep pelaburan, anda mesti tahu had anda dan jika anda mahukan melabur hartanah lebih daripada satu atau dua buah rumah, anda perlu bekerja keras untuk mempunyai kemampuan dalam pelaburan ini.

Paling penting ialah ilmu tentang bagaimana meguruskan rumah pelabura anda supaya anda tidak mengalami kerugian sebelum, semasa dan selepas membeli hartanah anda.

Sejak saya mengendalikan program pelaburan hartanah saya lihat ramai yang mengalami masalah rumah terbengkalai dan juga terikut-ikut membeli dan melabur hartanah tanpa membuat kaji selidik yang lebih mendalam.

Diharapkan artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu pembeli dan pelabur hartanah yang baru yang merasakan mereka sudah tiada peluang untuk membuat pelaburan hartanah pada situasi yang sukar sekarang ini.

Sumber :
http://www.majalahniaga.com/langkah-sukar-pelabur-hartanah-untuk-tahun-2014-dan-3-cara-mengatasinya.html

12/24/2013

BLR Bakal Naik: BNM Rumus Ukuran Baharu Bagi BLR Tahun Depan

interst-image

Sekadar gambar hiasan

Bank Negara Malaysia (BNM) akan merumuskan satu rangka kerja bagi pengukuran Kadar Pinjaman Asas (BLR) tahun depan untuk memperkasakan lagi sistem kewangan negara.

Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata bank pusat itu akan mengeluarkan satu kertas perundingan yang menggariskan rangka kerja kadar rujukan baharu kepada industri awal Januari tahun depan, kerana ia perlu melaraskan dan bergerak ke arah kebaikan ekonomi selanjutnya.

“Kebelakangan ini, terdapat tanda-tanda bahawa BLR, sebagai satu kadar rujukan, telah menjadi kurang relevan.

“Justeru itu ia menjadi kurang bermakna sebagai asas bagi penetapan harga pinjaman. Kadar pinjaman runcit ke atas pinjaman-pinjaman baharu yang ditawarkan oleh industri berada pada diskaun yang besar berbanding BLR,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Sekolah Perbankan Asia di sini Rabu.

Zeti berkata BLR adalah unsur penting dalam proses pengantaraan kewangan dan perlu ditambah baik dari segi kecekapan, agar industri perbankan terus menepati matlamat mutakhir kewujudannya.
“Selama dua tahun kebelakangan ini, kadar pinjaman purata jauh lebih rendah daripada BLR. Ini kerana komponen BLR bukan sahaja mencerminkan kos pembiayaan, malah juga kos-kos lain seperti overhead.

“Rangka kerja baharu ini akan lebih berhubung kait dengan kos pembiayaan, terutamanya kos pembiayaan marginal, yang merupakan cara bank-bank menetapkan harga pinjaman masing-masing dan itulah sebabnya kadar pinjaman kurang daripada BLR yang sepatutnya merupakan kadar terbaik yang ditawarkan,” katanya.

Ditanya sebab BLR sebagai rujukan telah menjadi kurang relevan, Zeti berkata bank memasukkan semua kos lain di dalamnya, sedangkan kadar yang digunakan sebenarnya adalah kos pembiayaan marginal, yang bererti kos dana yang digunakan bagi pinjaman.

“Dalam persekitaran kadar faedah yang agak rendah sekarang, kos pembiayaan kurang daripada BLR. Justeru itu, BLR tidak digunakan sebagai kadar rujukan dan kita perlu menyemaknya, memandangkan ia kini kurang relevan,” tegas beliau.

Tentang kemungkinan kadar pinjaman berkesan bagi peminjam runcit dinaikkan ekoran rangka kerja baharu itu, Zeti berkata ia tiada kena mengena dengan paras kadar faedah.

“Cuma kita tidak mahu ada rangka kerja yang tidak relevan kerana ia harus mencerminkan kos dana dan menjadi asas bagi penetapan harga pinjaman kadar apung,” katanya.

Sementara itu, tentang inflasi, Zeti berkata bank pusat itu akan membuat penilaian ke atas kadar inflasi bagi tahun depan, disebabkan oleh kemungkinan berlaku kenaikan harga-harga lain.

“Dengan penilaian ini, ia juga akan memberi sebab kenapa harga telah meningkat. Kita perlu lakukan penilaian yang amat sukar.

“Seperti saya pernah kata sebelum ini, beberapa kenaikan harga mempunyai hubung kait dengan harga makanan. Tindakan amat perlu diambil untuk menambah baik pengeluaran dan pengagihan makanan,” tegas Zeti.

Beliau berkata perniagaan perlu benar-benar meningkatkan kecekapan untuk mengurangkan kos dan memastikan peningkatan input tidak dipindahkan kepada pengguna akhir dan pelanggan.

“Pelanggan dan pengguna juga perlu berjimat dan mengelakkan penggunaan tenaga dengan berlebihan.

“Jadi, kita juga perlu mengubah perilaku kita seiringan kenaikan harga minyak dan bahan api antarabangsa. Kita tidak boleh mengekalkan pemberian subsidi harga. Jadi, negara perlu menghadapi keadaan-keadaan ini, kata Zeti.

– BERNAMA

8/13/2013

Harga Rumah Terus Melambung

 Sekadar gambar hiasan

Peraturan pembiayaan berkhemah dan pengurangan tempoh pembiayaan hartanah tidak akan mengurangkan harga rumah tetapi hanya mengurangkan kadar pertumbuhan tahunannya.

Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Siva Shanker berkata, harga hartanah tidak mungkin akan turun kerana permintaannya sangat tinggi terutamanya bagi rumah mampu milik.

"Peraturan baharu oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat berkesan mengurangkan kadar pertumbuhan sebagai contoh pada 2010, nilai hartanah melonjak hingga 35 peratus tetapi berjaya dikawal kepada sekitar 12 peratus tahun lalu.

"Kadar lonjakan nilai hartanah dapat diperlahankan tetapi kenaikan tetap berlaku setiap tahun," katanya, baru-baru ini.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan MIEA, hartanah yang dijual semula biasanya akan lebih tinggi daripada harga asal ketika dibeli.

"Untuk mengharapkan harga hartanah jatuh tidak mungkin berlaku ketika ini disebabkan permintaan.

"Di Malaysia, jika permintaan kurang, pemaju hartanah akan mengurangkan bekalan dan mereka tidak terjejas dengan melakukannya. Sebab itu harganya tidak akan turun," jelasnya.

Rekod MIEA menunjukkan transaksi hartanah jenis rumah di Lembah Klang mencatatkan peningkatan sejak 2010 daripada RM30.65 bilion kepada RM37.5 bilion pada 2012.

Permintaan tinggi adalah daripada rumah jenis teres dan peningkatan yang cukup tinggi direkodkan pada jenis pangsapuri.

Ditanya mengenai golongan muda yang semakin terhimpit untuk memiliki rumah, Siva berkata, peranan kerajaan untuk situasi ini sangat penting seperti yang dilakukan di Australia yang mana pembeli pertama diberikan subsidi antara AU$5,000 hingga AU$7,000 untuk rumah pertama.


Menurutnya, di Malaysia projek Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) merupakan cara terbaik tetapi yang menjadi persoalannya adalah perlaksanaan.

"Apa yang saya maksudkan adalah, dominasi pihak tertentu yang membeli rumah berkenaan dalam jumlah yang banyak menerusi proksi mereka dan fenomena ini telah berlaku.

"Akhirnya kerajaan akan menanggung beban masalah ini," ujarnya.

Sumber : Utusan Melayu

Sukar Miliki Rumah


 Sekadar gambar hiasan

Oleh FAIRUS KASSIM
Dalam keadaan isu rumah yang terlampau mahal dan tidak mampu dimiliki dan masih belum terpancar sinar penyelesaiannya, satu kejutan telah dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan tempoh pembiayaan aset keperluan asas rakyat berkenaan. 

Persoalannya di sini, belum pun selesai bebanan yang dipikul ketika ini, datang pula bebanan baharu yang menekan golongan muda yang sedang merangkak-rangkak untuk cuba membina kehidupan yang lebih baik.

Baru-baru ini, BNM telah menetapkan tempoh maksimum pinjaman maksimum dihadkan selama 10 tahun, manakala pinjaman pembelian rumah dihadkan selama 35 tahun daripada 45 tahun sebelum ini. Pengurangan sebanyak 10 tahun untuk pembiayaan hartanah.

Teorinya sangat mudah, semakin rendah tempoh pembiayaan semakin tinggi ansuran bulanan yang perlu ditanggung pembeli.

Pada 1 Januari 2012, BNM telah pun melaksanakan undang-undang kawalan pembiayaan dengan menetapkan nilai pembiayaan mesti berdasarkan gaji bersih berbanding gaji kasar sebelum ini.
Dasar baharu berkenaan telah pun mengecilkan kemampuan golongan muda untuk memiliki sebuah rumah, kini tempoh pembiayaan pula dikurangkan sekali gus seperti hampir menutup ruang sepenuhnya kepada golongan ini.

Tidakkah mereka sedar bahawa tempoh pembiayaan dilanjutkan bukan kerana suka-suka tetapi untuk memastikan pembeli mampu membeli rumah dengan ansuran yang mampu ditanggung setiap bulan. Memang benar, semakin lama tempoh pinjaman semakin tinggi faedah yang ditanggung pengguna tetapi itu sahaja cara yang ada untuk golongan muda memiliki rumah yang semakin hari semakin mahal seolah-oleh tiada siapa mampu mengawal kenaikannya.

Kenapa tidak diganggu harga rumah ini? Kenapa mesti diganggu tempoh pembiayaan hartanah? Kenapa setiap undang-undang baharu hanya menjurus kepada golongan pembeli dan bukannya penjual?

Golongan muda juga mempunyai banyak tanggungan lain seperti kereta, kos sara hidup, keluarga, hutang pelajaran dan dengan gaji di bawah RM3,000 sebulan sudah pasti ramai antara mereka tidak mampu memenuhi kriteria pembiayaan berkhemah BNM.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd Fauzi Mohd. Jani berkata, langkah itu akan menyebabkan golongan muda tewas kepada golongan pertengahan usia dari segi kuasa beli.

Katanya, ketika ini, terdapat dua kelompok pembeli iaitu golongan umur pertengahan antara 40 hingga 55 tahun dengan kewangan kukuh dan golongan muda yang berumur di antara 25 hingga 35.

"Kesan jangka panjang yang akan dihadapi apabila peralihan umur berlaku di mana golongan muda beralih ke golongan pertengahan umur, dan ketika itu mereka terpaksa membeli rumah pada harga berlipat kali ganda dari golongan sebelumnya.

"Fenomena ini akan mengakibatkan peluang untuk memiliki rumah semakin tipis disebabkan kenaikan harga rumah tidak setara dengan kemampuan," katanya sambil menegaskan dasar pengurangan tempoh pembiayaan berkenaan perlu dikaji semula.

Hartanah adalah aset bernilai tinggi dan nilainya sentiasa meningkat dan jika pembeli tidak mampu membayar ansuran, risiko kerugian kepada bank sangat kecil berbanding hutang kad kredit serta pembiayaan peribadi.

Mungkin tujuan kerajaan mengurangkan kuasa beli ini adalah untuk mengurangkan permintaan di pasaran sekali gus memaksa pemaju hartanah merendahkan harga rumah tetapi adakah ia akan berlaku?.

Menurut pemaju hartanah ketika dihubungi Utusan Malaysia, harga rumah tidak mungkin akan turun disebabkan peraturan baharu berkenaan dan apa yang akan berlaku adalah kekurangan bekalan di pasaran kerana pemaju akan mengurangkan projek.

Sepatutnya, peraturan itu hanya dikenakan untuk rumah-rumah mewah, manakala bagi rumah berstatus kos sederhana rendah dan rendah perlu dikekalkan tempohnya seperti sebelum ini.

Sumber : Utusan Melayu

Berapa Nilai Sebenar Rumah Mampu Milik

Sekadar gambar hiasan


Harga rumah mampu milik yang dicanang pemaju perumahan sekarang sudah tersasar daripada istilah 'mampu milik' yang sebenar. Berapakah nilai mampu milik sebenar mengikut keadaan semasa pendapatan rakyat dan pihak mana yang bertanggungjawab menentukan menetapkan standard harga rumah berstatus mampu milik?

Oleh kerana tiada standard atau akta mampu milik wujud, maka istilah mampu milik telah digunakan dengan sewenang-wenangnya walaupun nilai rumah yang ditawarkan sangat jelas di luar kemampuan rakyat berpendapatan sederhana.

Penganalisis Prof. Madya Datuk Mohammad Agus Yusoff berkata, pendapatan isi rumah sebanyak RM6,000 sebulan belum tentu dapat membeli rumah yang berharga RM400,000 yang dikatakan mampu milik ketika ini.

"Andaikan si pembeli meminjam RM400,000 daripada bank dengan purata kadar faedah enam peratus setahun, peminjam perlu membayar ansuran bulanan kira-kira RM2,400 selama 30 tahun. 

"Persoalannya, berapa ramaikah rakyat kita memiliki pendapatan isi rumah RM6,000 sebulan sekarang dan bagaimana pula nasib golongan yang memiliki pendapatan yang lebih rendah," katanya.
Persoalan yang sentiasa bermain di fikiran rakyat adalah mengapa harga rumah mahal dan apabila diajukan soalan berkenaan, pihak yang berkaitan akan saling menuding.

Jawapan pemaju mudah sahaja, iaitu kerana barang kos pembinaan seperti simen, pasir, batu-bata dan seribu satu macam perkara lain lagi naik harga. Bagi ahli ekonomi, mereka menjawab kerana permintaan melebihi penawaran. 

"Saya pun hairan kenapa kerajaan begitu sukar mengawal harga rumah ini dan menetapkan harga rumah mampu milik, iaitu yang boleh dibeli oleh golongan berpendapatan sederhana yang harganya dalam lingkungan RM100,000- RM200,000 sahaja," jelasnya.

Jelas beliau, harga rumah yang ditetapkan oleh pemaju sekarang sudah melampau dan bayangkan bagaimana seorang yang baharu bekerja boleh memiliki rumah jika harga rumah dua tingkat di Bandar Baru Bangi dengan keluasan 20 x 70 kaki sudah mencecah RM500,000. 

Bayangkan pula kalau mereka mempunyai hutang kereta, kos tanggungan anak dan kos-kos lain kehidupan seharian - mana mungkin mereka mampu memiliki rumah ketika ini.

Terdapat beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak kerajaan bagi mengawal senario tidak sihat ini dari terus mengancam kehidupan rakyat, antaranya:

i. Turunkan kadar faedah serendah mungkin pembiayaan bagi rumah pertama. Contoh mekanisme terbaik seperti sesetengah bank hanya mengenakan kadar faedah sebanyak 1 peratus kepada kakitangannya.

ii. Naikkan elaun perumahan untuk kumpulan sokongan dari RM180 sebulan kepada jumlah yang lebih wajar dan termasuk wajibkan kepada pekerja swasta.

iii. Kerajaan sendiri membina lebih banyak rumah sesuai dengan permintaan dengan tidak lagi menyerahkannya kepada pemaju swasta. Sekiranya syarikat swasta mahu juga membinanya, kerajaan perlu meminda akta supaya segala pembangunan perumahan yang dilakukan oleh syarikat swasta hendaklah mengikut syarat-syarat ketat harga yang ditetapkan kerajaan supaya harga menjadi terkawal dan tidak melampau.

iv. Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sepatutnya merangka mekanisme untuk menurunkan harga rumah sama ada dengan mengurangkan kos pembinaan dan lain-lain tindakan yang wajar.

v. Jika harga rumah mahal disebabkan oleh harga tanah, maka kerajaan hendaklah menetapkan harga siling bagi setiap kaki persegi tanah.

vi. Jika harga tanah di bandar mahal untuk membangunkan perumahan, maka bina lebih banyak pangsapuri untuk golongan berpendapatan rendah.

Sumber : Utusan Melayu

8/12/2013

Maklumat Tekini Perumahan Di Sabah



Ramai orang di luar sana akan mula tercari-cari sumber maklumat tentang hartanah atau perumahan baru atau design rumah. 

Para pencari rumah terutamanya di sekitar Sabah bolehlah sertai Equest Group melalui Facebook. Terdapat maklumat projek terbaru perumahan dan rekabentuk rumah yang menarik untuk pilihan pembeli. 

Selain itu juga para pembeli dan rakan FB juga dapat berkongsi maklumat tentang proses belian, pinjaman, insuran, sewa dan hal lain berkaitan hartanah. 

Ada juga maklumat rumah dengan inovasi atau e-novations design & build terkini serta kos pembinaan yang dikira murah untuk dibina di tanah sendiri seperti penggunaan cement concrete board, IBS, steel frame dan lain-lain. 









8/11/2013

Cukai Keuntungan Hartanah Dinaikkan 30%

 
 Sekadar gambar hiasan

Kerajaan bakal menaikkan kadar cukai keuntungan hartanah sekali ganda berbanding 15 peratus pada masa ini, sebagai antara langkah terakhir bagi mengawal kenaikan harga rumah secara mendadak di negara ini khususnya di kawasan bandar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan bagaimanapun berkata, kenaikan cukai kepada 30 peratus itu akan dibuat sekiranya keadaan betul-betul terdesak yang menyaksikan harga rumah terus meningkat dengan mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia.

“Dahulu kita pernah letakkan kadar cukai ini pada paras 30 peratus, maknanya kalau kita beli rumah, lepas itu jual dalam masa dua tahun, cukai keuntungan kita adalah 30 peratus daripada rumah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis berbuka puasa bersama penduduk kampung di Masjid Kampung Taun Gusi, di sini malam tadi.

Abdul Rahman berkata, kenaikan kadar cukai berkenaan bertujuan mengurangkan aktiviti pembeli hartanah yang mahu mengambil keuntungan dengan membeli dan menjual hartanah sekali gus menyebabkan kenaikan harga rumah secara mendadak.

“Ini untuk mengelakkan aktiviti spekulasi, contohnya apabila ada rumah dibina selalunya akan dijual habis tetapi apabila siap banyak pula iklan untuk menjualnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bengkel khas bagi mencari kaedah terbaik menurunkan harga rumah akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Kata beliau, bengkel sehari suntuk itu akan melibatkan pakar dari kementeriannya, ahli akademik, pemaju perumahan dan peserta dalam industri pembinaan.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 10 peratus daripada projek perumahan rakyat yang dilaksanakan di seluruh negara akan dikhaskan untuk program perumahan transit.

Ujarnya, pelaksanaan program untuk golongan muda yang baharu berkahwin itu akan dijalankan serentak termasuk di Sabah.

Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd

Nilai Hartanah Dijangka Meningkat 12%


Sekadar gambar hiasan

Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) menjangkakan nilai sektor hartanah negara akan bangkit semula separuh kedua tahun ini untuk mencapai pertumbuhan sekitar 12 peratus setahun.

Presidennya, Siva Shanker berkata, pada separuh pertama tahun ini pelabur dan pembeli hartanah agak berhati-hati dengan pasaran berikutan pilihan raya umum dan pertumbuhan jualan agak perlahan.

“Namun pelabur dan pembeli dijangka mula membuat pembelian ketika ini untuk mengimbangi situasi yang perlahan sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Unjuran Pasaran Hartanah Pasca PRU 13 di sini hari ini.

Beliau berkata, pertumbuhan sekitar 10 hingga 13 peratus adalah stabil berikutan kawalan pembiayaan berhemah yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tahun lalu.
“Pengenalan kawalan berkenaan tepat pada masanya dan berjaya mengawal kenaikan harga hartanah secara mendadak yang boleh menyumbang kepada gelembung hartanah.

“Pada 2010-2011, sektor hartanah mencatatkan pertumbuhan sehingga 35 peratus dan ini tidak baik untuk jangka masa panjang. Kawalan BNM telah mengekalkan pertumbuhan pada paras selamat pada tahun lalu iaitu sekitar 10 hingga 12 peratus,” jelasnya.

Ditanya kemungkinan untuk Malaysia berdepan dengan gelembung hartanah, Siva berkata, dalam keadaan sekarang hampir mustahil untuk fenomena berkenaan berlaku.

“Tahun ini, kami jangka tiada fenomena kenaikan harga yang melampau. Dalam tempoh 15 tahun ini, sektor hartanah Malaysia sangat stabil,” ujarnya.

“Sebagai contoh ketika krisis ekonomi 2008-2009, nilai hartanah di Singapura jatuh antara 40 hingga 50 peratus tetapi sebaliknya di Malaysia, harganya kekal.

Mengulas mengenai peraturan baharu yang diperkenalkan oleh BNM dengan mengurangkan tempoh pembiayaan hartanah, beliau berkata, tiada impak besar dijangkakan.

“Sektor perbankan mengatakan kepada MIEA bahawa perniagaan berjalan seperti biasa dan pembelian hartanah kekal,” jelasnya.

Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd

7/15/2013

Muat naik Iklan di Atas Talian Internet

Selepas selesai kerja-kerja ubahsuai dijalankan dan pembersihan siap dilaksanakan maka tibalah masa untuk misi mencari penyewa. Cara terpantas mencari penyewa adalah dengan muat naik iklan di atas talian dengan menggunakan website www.mudah.my . Sebaik sahaja iklan di publish dalam mudah.my maka berpusu-pusu bunyi handphone berdering termasuk panggilan dan juga sms bertanyakan apartment untuk disewa. 


Pada kali ini bakal penyewa tidak ada seorang pun yang berunding untuk kurangkan kadar sewa dan deposit seperti yang telah diiklankan malah mereka berlumba-lumba ingin menyewa apartment saya ini. Menurut pemerhatian saya kadar sewa pada hari ini telah pun meningkat naik seiring kadar pasaran hartanah.

Selepas memperolehi penyewa yang bersetuju menyewa apartment saya ini maka "Mesin Pencetak Wang" menurut kamus pelaburan hartanah mula beroperasi semula seperti biasa.


7/05/2013

Ubahsuai Ringkas Tapi Menarik

Penyewa sedia ada telah keluar selepas tamat kontrak setelah menyewa apartment saya selama 2 tahun. Sebenarnya berat untuk melepaskan penyewa yang setia dan patuh membayar sewa setiap bulan. Bagaimanapun memang sudah lumrah sebagai tuan rumah dalam pelaburan hartanah, penyewa akan datang dan pergi selepas tempohnya tamat.

Bagaimanapun inilah masanya untuk mengubahsuai di bahagian ruang tamu supaya lebih nampak menarik. Kerja-kerja ubahsuai telah mengambil masa dalam 3 hari sahaja seperti memasang ceiling cornice tepi, fan ceiling cornice, cat semula dinding, lampu siling, cermin dinding dan kain lansir.

Kerja-kerja ubahsuai dengan kos yang rendah adalah langkah-langkah untuk menampakkan apartment lebih menarik dan cantik di samping menaikkan nilai hartanah serta menaikkan nilai sewa semasa.

KERJA-KERJA UBAHSUAI





SELEPAS SELESAI KERJA-KERJA UBAHSUAI








4/26/2013

Rumah Lelong Jadi Pilihan Pada Masa Kini

Pada hari ini rumah berstatus lelong menjadi sasaran pembeli atau pelabur hartanah kerana harganya lebih murah dari nilai pasaran. Dengan harga rumah yang tinggi di Sabah ini menyebabkan rumah lelong pula menjadi pilihan. 

Pada 20 April 2013 yang lepas saya telah hadir satu Lelongan Rumah telah dibuka dan sebanyak 9 buah rumah bakal dilelong tetapi 5 buah rumah telah pun "Call Off" dan hanya 4 buah saja yang tinggal untuk dibida. 

Ramai bidder yang datang pada hari tersebut dan hanya 2 orang saja bertuah memiliki rumah yang dilelong. Seorang bidder telah berjaya memiliki 3 buah apartment 2 bilik di Melinsung Resort Beach Apartment walaupun ada saingan dari bidder yang lain. 

Saya ketika itu hanya duduk diam melihat gelagat bidder2 yang bersaing untuk memiliki rumah yang dibida dan nombor yang ditangan hanya dipegang sebagai perhiasan.

Tahniah untuk bidder yang berjaya.





1/14/2013

Rumah Mesra Rakyat 1 Malaysia

 Bermula tahun ini, semua kelayakan permohonan untuk memiliki Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) akan ditentukan melalui empat panel bank yang dipilih Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Pengerusi SPNB, Datuk Ir. Idris Haron berkata, proses terbaru itu bakal menyaksikan hanya individu yang memiliki sejarah pengurusan kewangan bersih layak memohon program tersebut dan tertakluk kepada polisi Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, empat bank berkenaan yang telah menyatakan persetujuan untuk bekerjasama dengan SPNB ialah CIMB Bank, Maybank, Bank Islam dan Bank Rakyat.

"Tahun ini sedikit berbeza apabila kita menggunakan institusi kewangan dan bank-bank perdagangan untuk membiayai pembinaan projek RMR1M. Namun, kita masih berpegang kepada syarat lama seperti pemohon perlu memiliki tanah, mempunyai tanggungan dan pendapatan tidak lebih RM3,000 sebulan.

"Proses baru ini bukan lebih menyukarkan, tetapi agak cerewet kerana pemohon hendaklah mempunyai sejarah kewangan peribadi yang bersih, maknanya tiada rekod dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan agensi rujukan kredit, Credit Tip Of Service Sdn. Bhd. (CTOS). 

"Bank telah meletakkan kriteria (pendapatan) daripada RM750 ke RM3,000. Kalau dahulu ia bawah RM750, kita boleh terima lagi," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Rakyat Bersama SPNB di Parlimen Tambun di sini hari ini.

Majlis yang disempurnakan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah itu turut dihadiri Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail.

Program RMR1M yang diwujudkan SPNB bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang, tetapi memiliki tanah untuk membina kediaman sendiri.

Berharga RM65,000, RMR1M mendapat subsidi kerajaan kerajaan sebanyak RM20,000 seunit termasuk subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak dua peratus.

Difahamkan, pengenalan prosedur baru melibatkan permohonan menggunakan panel bank itu adalah bagi mengatasi kadar hutang tidak berbayar (NPL) dalam kalangan pemohon.

Dalam pada itu, Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu berkata, pihaknya menyasarkan pembinaan 21,000 lagi unit RMR1M yang dijangka siap dalam tempoh 3 tahun.

Sumber : Utusan Melayu 

1/05/2013

Layan Facebook Untuk Kebaikan


Facebook merupakan satu medium untuk orang berhubung atau bersosial dengan teknologi terkini. Ramai lagi mereka di luar sana belum lagi mempunyai akaun facebook sama ada tidak tahu menggunakannya dan ada memberi alasan tentang keburukannya. 

Penggunaan facebook sebenarnya banyak memberi manafaat kepada kita semua dan tidak kurangnya ia disalahgunakan menyebabkan berlaku perkara negatif. 

Dalam facebook kita boleh berhubung dengan rakan, saudara dan syarikat, malah pelbagai ilmu yang bermanafaat juga boleh diperolehi seperti agama, perniagaan, kewangan, motivasi dan lain-lain. Manakala orang perseorangan sehingga syarikat besar dapat menggunakan facebook untuk mengiklankan servis dan perkhidmatan mereka. Inilah yang dinamakan kebaikan yang boleh diperolehi dalam facebook.

Tetapi tidak kurang juga perkara negatif boleh diperolehi dari facebook dan kadangkala kita dengar berlaku fitnah serta salah faham antara rakan-rakan, keluarga dan ada juga suami isteri yang bertengkar kerana facebook. 

Adakah facebook ini bersalah ? 

Tuhan sudah memberi kita akal untuk menilai yang mana baik atau buruk. Dalam facebook ada pro dan kontra terpulang kepada individu untuk menilai yang mana bermanafaat dan bukan.

Dengan wujudnya facebook, ada di luar sana telah bertemu jodoh dan lagu cinta muka buku oleh Najwa Latif menjadi popular.



 

1/01/2013

Kehadiran 2013 Dengan Azam Baru


Setiap kali kehadiran tahun baru sudah pasti azam baru pun akan diimpikan oleh setiap orang. Tetapi azam tahun lepas kadang kalanya masih belum tercapai. 

Apakah tindakan kita, tinggalkan saja azam tahun lepas yang belum tercapai dan mulakan azam baru di tahun 2013 ini. Jika tinggalkan begitu saja maka azam tahun ini pun mungkin ada beberapa azam akan mengalami nasib yang sama dengan sebelumnya. 

Maka kita perlu teruskan azam baru dan tidak terkecuali azam yang belum dicapai untuk dibawa pada tahun ini. 

Selamat menyambut tahun 2013 dengan azam baru untuk pencapaian kejayaan diri dan keluarga yang lebih Sukses.


Kalkulator Pinjaman Rumah

Kalkulator Pinjaman

Semak kadar pinjaman dan kelayakan anda secara online. Masukkan data-data jumlah pinjaman, kadar bank dan kira untuk melihat kebarangkalian bayaran bulanan pada bank

Kundasang War Memorial

Desa Dairy Farm Kundasang

Lok Kawi Wildlife Park

Rumah Terbalik di Jalan Tamparuli

Poring Hot Spring Ranau

Taman Pertanian Tenom