2/15/2012

Kongsi Pengalaman di Pesta Usahawan



Oleh ADLAN JAAFAR (Kosmo.com.my)

NASRUDDIN berharap pameran yang akan dianjurkan dapat membantu orang ramai yang mahu memulakan perniagaan.

SELAMA 16 tahun, Nasruddin Abdul Ghani bekerja sebagai penjual hartanah menggunakan kaedah konvensional. Malah, sebelum telefon bimbit digunakan secara meluas, lelaki dari Rembau, Negeri Sembilan itu perlu berulang-alik dari pejabat ke lokasi jika mendapat mesej daripada pelanggan berpotensi.

Keluh lelaki berumur 44 tahun itu, kerja-kerja rencam seperti menaikkan sepanduk dan menampal iklan-iklan perlu dibuat sendiri tidak kira keadaan cuaca semata-mata demi premis hartanah terjual.
Kini, dia masih lagi seorang penjual hartanah tetapi dengan cara yang berbeza iaitu menggunakan kaedah dalam talian melalui laman sesawang www.drumah.com.
Masih lagi menggunakan talian telefon sebagai alat komunikasi, namun, penggunaannya telah diminimumkan untuk tujuan pengesahan pemilik premis untuk menjual selain urusan-urusan rasmi yang melibatkan bank dan guaman.

“Orang sekarang lebih suka melihat dahulu premis yang mahu dibeli secara maya dalam Internet, barulah mereka membuat keputusan untuk melihat sendiri,” kata Nasruddin ketika ditemui di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.

Laman web www.drumah.com mula beroperasi pada bulan Mac 2009 selepas mendapat geran kewangan daripada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).
Bermula dengan hanya kurang 10 orang pelayar Internet melawati www.drumah.com, kini secara purata laman web tersebut dilawati seramai 10,000 sehari.

“Masa saya dapat dijimatkan sehingga 80 peratus,” ujarnya kepada Kosmo!
Untuk mendapatkan geran daripada MDeC, Nasruddin berkata, ia amat mudah. Selama ini, rungutan pihak yang mengatakan bahawa sukar untuk mendapatkannya adalah disebabkan oleh syarat-syarat yang tidak ditepati.

Atas alasan tersebut, dia yang bertugas sebagai ketua pengurus Drumah Homely Publication Sdn. Bhd. berkata syarikatnya dengan kerjasama TM Ads Solution Sdn. Bhd, pemilik portal eilmu.my akan mengadakan sebuah pameran yang akan memberi ruang kepada orang ramai memasarkan idea mereka.

Dua bahagian
PENGANJUR menyasarkan lebih 100 produk dan 50 syarikat tempatan menyertai pameran Eilmu. - Gambar hiasan
Eilmu Technopreneurs & Innovations Fair Kuala Lumpur 2012 yang bakal diadakan dari 24 hingga 26 Februari 2012 nanti terbahagi pada dua bahagian.

Bahagian pertama adalah untuk produk-produk MSC dan syarikat ICT tempatan seperti multimedia kreatif, perisian, animasi, e-dagang, aplikasi serta perniagaan berasaskan Internet.
Bertempat di Mid Valley Convention Centre, Kuala Lumpur, pameran itu nanti turut menyediakan slot ceramah selama 18 jam yang diadakan secara berkala sepanjang tempoh tiga hari acara berlangsung.

Antara penceramah yang sudah mengesahkan kehadiran adalah jutawan Internet, Irfan Khairi dan wakil dari Drumah Homely Publication sendiri.

Antara topik-topik adalah cara-cara yang betul dan tepat supaya permohonan pada agensi-agensi seperti MDeC dan Bank Simpanan Nasional dapat diluluskan.
Kepada mereka yang mempunyai idea-idea menarik yang boleh dibangunkan dan direalisasi tetapi mengalami kekangan dari segi kewangan, pameran yang bakal dihadiri oleh 50 syarikat tempatan dan 100 produk itu adalah tempat yang tepat untuk menjual idea-idea tersebut.
Bahagian kedua pula adalah untuk produk-produk jenama Malaysia.

Pihak Drumah menyasarkan pameran itu akan menjadi medan kepada para peserta pameran mencari ejen manakala pengunjung boleh mencari produk yang sesuai untuk memulakan perniagaan.

“Matlamat kami adalah untuk meningkatkan daya tarikan kandungan kreatif dan produk kreatif selain menggalakkan e-pembelajaran dan e-dagang, animasi, permainan dan banyak lagi,” kata pengurus pemasaran Drumah, Azali Bakri, 27.

Tambah Azali, sebanyak 70 tapak disediakan dengan 40 peratus daripadanya telah ditempah dengan 4,000 pengunjung telah mengesahkan di laman web www.drumah.org tentang kehadiran mereka pada pameran tersebut.

Pada hari pameran itu nanti, watak popular animasi tempatan, Upin dan Ipin akan hadir membuat penampilan istimewa.

No comments:

Post a Comment

Kalkulator Pinjaman Rumah

Kalkulator Pinjaman

Semak kadar pinjaman dan kelayakan anda secara online. Masukkan data-data jumlah pinjaman, kadar bank dan kira untuk melihat kebarangkalian bayaran bulanan pada bank

Kundasang War Memorial

Desa Dairy Farm Kundasang

Lok Kawi Wildlife Park

Rumah Terbalik di Jalan Tamparuli

Poring Hot Spring Ranau

Taman Pertanian Tenom